PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada April 2023 kekal di paras 3.5 peratus, manakala bilangan penganggur terus berkurangan kepada 586,900 orang, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, pasaran buruh kekal stabil dengan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh yang disumbangkan oleh pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja dan penurunan berterusan dalam bilangan penganggur.
Jelasnya, bilangan tenaga buruh pada April terus meningkat, dengan kenaikan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.84 juta orang berbanding Mac sebanyak 16.81 juta orang.
“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.0 peratus berbanding Mac pada 69.9 peratus, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan.
DOSM turut melaporkan perbandingan bulan ke bulan menunjukkan bahawa bilangan penduduk bekerja kekal pada trend positif pada April dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.25 juta orang (Mac 2023: 16.22 juta orang).
Katanya, kategori pekerja yang merangkumi 75.5 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.28 juta orang. Trend yang sama dilihat dalam bilangan penduduk bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 2.92 juta orang berbanding 2.91 juta orang bulan sebelumnya.
“Analisis mengikut sektor ekonomi menunjukkan bahawa bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan terus berada dalam trend peningkatan, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Perkhidmatan makanan & minuman; dan Maklumat & komunikasi.
“Guna tenaga dalam sektor Pembuatan, Pembinaan dan Pertanian juga menunjukkan peningkatan. Sebaliknya, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan pada bulan tersebut,” jelas DOSM.
Tambah DOSM, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus berkurang bagi enam bulan berturut-turut dengan penurunan bulan ke bulan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.1 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 315,600 orang (Mac 2023: 11.2 peratus; 317,300 orang).
“Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.4 mata peratus kepada 6.7 peratus, mencatatkan 441.0 ribu penganggur belia (Mac 2023: 7.1 peratus; 454,900 orang),” katanya. – UTUSAN











