Jemputan wakil Kerajaan Perpaduan ke PAU cari titik kebersamaan

Jemputan wakil Kerajaan Perpaduan ke PAU 2023 cari titik kebersamaan

JEMPUTAN terhadap wakil Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini bertujuan mencari titik persamaan dan kerjasama jitu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Jemputan terhadap wakil Kerajaan Perpaduan memperlihatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2023) kali ini berbeza dengan sebelumnya. Ada yang menerima jemputan tersebut secara positif, ada yang sebaliknya.

Namun, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad optimis dengan menjelaskan jemputan tersebut adalah wajar bagi mencari titik kebersamaan, selaras dengan perubahan dunia politik hari ini.

DR. AZHAR AHMAD

Ikuti temubual eksklusif bersama Azhar yang juga merupakan Senator Dewan Negara bersama wartawan ASLINDA NASIR.

UTUSAN: Wajarkah jemput wakil Kerajaan Perpaduan ke PAU 2023?

AZHAR: Tidak ada masalah pun sebenarnya jemput pimpinan daripada parti pemerintah untuk hadir PAU kali ini, mereka datang bukan berucap, yang berucap adalah Presiden. Mereka lihat bagaimana perjalanan mesyuarat UMNO pada perasmian, ia tidak menjadi masalah kerana itu salah satu cara nak merapatkan hubungan antara parti pemerintah dengan Kerajaan Perpaduan.

Kalau kita boleh jemput parti daripada negara lain, apa pula masalah kalau nak jemput parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan, yang kita perintah bersama. Parti tempatan bersama dalam Kerajaan Perpaduan, melihat hari perasmian, kehebatan UMNO menjalankan mesyuarat tahunan. Saya sangat mengalu-alukan.

Apa isu utama yang selalu dibangkitkan akar umbi UMNO kepada pemimpin bahagian seperti Datuk?

Kerjasama UMNO dalam kerajaan hari ini.

Apa caranya untuk memulihkan ‘luka’ hati orang UMNO tentang perkara ini?

Semua yang terkandung dalam perlembagaan jangan diusik. Jangan dicabul sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap orang Melayu. Orang UMNO akan luka kembali. Sekarang ahli UMNO cuba untuk move on. Dengan cara baru ini, ada rasa hormat antara satu sama lain, hormat perlembagaan, hormat agama dan bangsa lain, sebab nak berkawan perlu ada tolak ansur.

Saya faham perkara ini ambil masa untuk perbaiki hubungan ini. Dalam perjalanan untuk perbaiki perasaan gundah gulana, jangan ada pemimpin yang bercakap dan menyalahi apa yang saya sebut tadi. Tunjukkan bukti secara jujur dan ikhlas.

Selain itu, jangan sebut single party. Sebut Kerajaan Perpaduan, bukan UMNO, DAP, PKR, Amanah. Jangan menyakitkan hati sesiapa dan ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kita semua, Perdana Malaysia mewakili bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa lain, bukan hanya mewakili satu bangsa sahaja.

Apa yang perlu dibuat oleh parti lain dalam Kerajaan Perpaduan supaya akar umbi UMNO lebih menerima kerjasama politik hari ini?

Jangan biar UMNO seorang diri terkontang-kanting. Kita perlu bersekali dan sederap dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menceritakan konsep Kerajaan Madani agar jelas, rakyat faham kerana hari ini pembangkang sangat aktif menggerakkan jentera lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRN.

Kita juga minta parti yang ada dalam PH menyeru penyokong mereka memberi sokongan pada calon dari BN kerana BN-PH adalah parti kerajaan.

Maksudnya, PH perlu buat tindakan yang sama dengan apa yang UMNO lakukan kini?

Itu yang terbaik. Kenapa tidak? Kalau pemimpin parti Kerajaan Perpaduan secara terbuka beritahu pada penyokong mereka supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO, ia sedikit sebanyak melegakan hati akar umbi parti kita sebenarnya. Jangan kita sahaja yang cakap dan yang kena kritik pun pemimpin kita sahaja. Sama-sama nak menang, jadi tanggungjawab kena pikul bersama.

Saya bersimpati kepada Datuk Seri Ahmad Maslan sehingga orang kata dia kafir, tidak patut sama sekali ada pihak-pihak yang membuat kenyataan sedemikian. Bukan mereka yang tentukan kafir atau tidak kafir. Fahami dengan mendalam tentang apa yang cuba disampaikan itu.

Kita masih tunggu bagaimana cara untuk beritahu penyokong mereka sokong calon Kerajaan Perpaduan. UMNO sudah tunjuk sikap menyeru, nasihat sokong parti yang bertanding, kita juga minta PH khususnya DAP menyeru penyokong mereka memberi sokongan padu pada calon dari BN dalam PRN nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×