KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga sayap UMNO senada bahawa parti itu tidak sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mampu menggugat kesucian agama Islam dan kaum Melayu di negara ini.
Seruan itu disampaikan ketua sayap ketiga-tiga pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri menerusi ucapan dasar masing-masing sempena Perhimpunan Agung UMNO semalam.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pihaknya akan menghumban pemimpin UMNO yang dilihat bertentangan dengan prinsip dan agenda UMNO yang selama ini mempertahan kesucian agama Islam serta Melayu.
Kata beliau, pihaknya mahu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menjadi parti yang membela nasib Melayu, mempertahan Islam dan menjunjung kedaulatan raja dengan berfungsi sebagai penjaga, pelindung serta pemelihara tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain.
“Kalau ada ada mana mana pihak yang cuba, waima terlintas walau sedikit pun untuk mengganggu-gugat agama, bangsa dan institusi raja, tengok muka ini, tengok muka pemuda-pemuda ini, langkah mayat kami dulu.
“Selaku barisan benteng paling hadapan parti, kita mesti kembalikan keberanian pada warna merahnya, kesucian pada putihnya, kedaulatan raja pada bulat kuning, ketinggian Islam dan Melayu pada hijau keris.
“Ini asal usul kita, ini berani, taat dan setia, inilah yang akan mengembalikan penawaran dan permintaan kita,” katanya.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad juga senada bahawa UMNO tidak pernah takut untuk berbeza pendapat dalam pentadbiran kerajaan sekarang apabila menjadi rakan strategik yang baik dalam kerajaan dengan memberi teguran dan kritikan yang membina.
Perkara itu kata beliau, termasuk gesaan UMNO kepada kerajaan dari pelbagai sudut agar kepimpinan negara menawarkan solusi konkrit terhadap isu-isu rakyat.
“Contohnya isu-isu yang melibatkan kesucian agama Islam, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mampu menggugat kesucian agama Islam di negara ini.
“Kita akan sentiasa menjunjung fikrah dan asas penubuhan UMNO, seperti yang termaktub di dalam Fasal 3.1 Perlembagaan parti,” katanya.
Noraini justeru itu menambah UMNO akan kekal konsisten menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Sementara itu, sayap Puteri diingatkan supaya menerima perubahan politik hari ini demi kelangsungan parti dan kestabilan politik.
Menegaskan perkara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, meskipun memerlukan tempoh masa untuk menerimanya dengan baik, gerak kerja perlu dijalankan khususnya bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Mahu atau tidak, rela, atau paksa rela, kita kena menerima kedinamikan politik. Mungkin selama ini kita sudah selesa dengan budaya dan tradisi politik kita, program dan gerak kerja cara kita. Namun demi kelangsungan pergerakan Puteri.
“Kita masih UMNO yang sama, asas DNA tujuan perjuangan UMNO tetap kita suburkan. Namun, dalam masa yang sama, pola fikir dan gerak tindak kita dalam politik perlu lebih matang, selari dengan tuntutan masa,” katanya. – UTUSAN











