PETALING JAYA: Ambil langkah bertanggungjawab pada hari ini bagi menyediakan persekitaran bebas asap rokok bagi anak-anak dan generasi akan datang.
Perubahan hanya boleh dilihat sekiranya setiap individu mengambil inisiatif sendiri untuk berhenti merokok dan ingin membawa perubahan bagi generasi masa hadapan.
Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perubahan boleh dibawa dan ia bermula daripada keluarga sendiri.
“Kebanyakkan anak-anak mula merokok dari usia yang muda lagi kerana melihat ibu bapa mereka merokok terutamanya kaum laki, oleh itu, jangan melakukannya di hadapan mereka.
“Ini bukan sahaja mampu mengelak mereka daripada ketagih tetapi menjaga kesihatan anak-anak terutamanya yang menghidapi asthma.
“Perokok bukannya tidak sedar bahawa perkara tersebut berbahaya bagi kesihatan sendiri dan orang sekeliling tetapi disebabkan oleh ketagihan mereka tidak mampu berhenti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, orang ramai berisiko dijangkiti kanser apabila satu hembusan asap daripada perokok mendedahkan orang awam kepada lebih 5,000 bahan kimia yang berbahaya mampu mengancam nyawa.
Sikap pentingkan diri mengancam kesihatan itu lebih berbahaya apabila udara yang tercemar dengan bahan kimia tersebut dihirup oleh golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung.
Mengulas lanjut, Sharifa berkata, banyak kawasan sudah diwartakan sebagai kawasan dilarang merokok termasuk kedai makan kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada orang lain.
“Namun, masih ramai melakukannya tanpa menghiraukan kesihatan dan keselesaan orang sekeliling, malah, pengusaha kedai makanan juga takut menegur pelanggan mereka.
“Banyak kes pengusaha kedai menjadi viral kerana dilihat seperti berkasar dengan pelanggan walaupun cerita sebenar di belakang kamera adalah berbeza, namun ‘customer is always right’.
“Jadi, kedai makan hanya meletakkan tanda dilarang merokok sahaja, kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab harus melakukan yang terbaik dengan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, inspektor kesihatan atau pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini ada melakukan rondaan tetapi mereka juga kekurangan kakitangan jadi sudah pasti bukan semua yang merokok di kawasan awam ditangkap.
“Banyak garis panduan telah dikeluarkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyedarkan masyarakat bahaya nikotin dalam rokok, malah kos rawatan dan kesannya kepada paru-paru pun sudah dikeluarkan.
“Masyarakat yang terlampau tertagih dinasihati untuk bertukar ke terapi gantian nikotin (NRT), di mana nikotin digantikan kepada dos yang lebih rendah seperti nikotin gam, tampalan atau inhaler,” ujarnya. – UTUSAN











