Tunggu meja terbalik sendiri sahaja - PN Selangor

Tunggu meja terbalik sendiri sahaja – PN Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sokongan yang dilihat meningkat terhadap Perikatan Nasional (PN) Selangor lebih memudahkan Kerajaan Perpaduan mengenal pasti parti mana yang benar-benar berfungsi atau sebaliknya dalam menarik sokongan rakyat khususnya orang Melayu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, meskipun kedudukan Kerajaan Perpaduan tidak berubah dengan keputusan pilihan raya negeri (PRN) nanti, ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati oleh parti lain yang memenangi kerusi lebih berbanding parti yang dilihat hanya sekadar menumpang pada kekuatan kerajaan hari ini.

“Kita tidak perlu buat apa pun, tunggu ‘meja’ terbalik sahaja. Sebab mereka sudah pasti akan tidak puas hati dengan mana-mana parti yang tidak mampu menyumbang kemenangan pada PRN itu nanti.

“Jadi, sokongan yang positif terhadap kita akan memudahkan Kerajaan Perpaduan untuk tahu parti mana yang benar-benar berfungsi mahupun sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Gabungan Kerajaan Perpaduan mempunyai 19 parti di dalamnya termasuk Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Barisan Nasional (BN) yang di dalamnya mempunyai UMNO, MIC, MCA dan PBRS, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti lain.

Ketika ditanya parti mana yang dilihat seperti tidak berfungsi dalam menarik sokongan Melayu khususnya, Abdul Rashid berkata, sudah pasti semua pihak akan tertumpu kepada UMNO yang memegang perjuangan parti untuk orang Melayu sejak dahulu.

Malah jelasnya lagi, fungsi UMNO dalam Kerajaan Perpaduan turut dilihat lebih kepada strategi menarik sokongan Melayu yang kurang kecenderungannya kepada PH sebelum ini.

“Sedangkan orang UMNO pun marah dengan parti sendiri, salah satu faktornya adalah kerana kerjasama mereka dengan DAP. Selain itu, isu kalimah Allah juga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila perkara itu menjadi topik dalam khutbah Jumaat minggu lalu, yang masing-masing mula mempersoal kenapa UMNO berdiam diri dalam hal ini.

“Kalau ikut rekod pun, UMNO sudah hilang sokongan Melayu dan ramai yang beralih kepada PN, momentum itu masih sama,” ujarnya.

Mengulas perkembangan mengenai PRN Selangor, Abdul Rashid berkata, beliau sudah melengkapkan senarai nama calon bagi parti Bersatu negeri Selangor dan akan diserahkan dalam minggu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×