Kerjasama PH, BN lengkap jika UMNO dapat pujuk ahli undi DAP

Kerjasama PH, BN lengkap jika UMNO dapat pujuk ahli undi DAP

Nama-nama besar yang pernah menjadi Menteri Besar, Ketua Menteri dan anggota Kabinet dijangka turut dicalonkan semula dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keserasian komposisi Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) lengkap jika UMNO dapat memujuk ahli akar umbinya mengundi calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun, tidak semua enam negeri yang bertanding boleh dijadikan indikator penentu penerimaan ahli UMNO yang terdiri daripada orang Melayu, sebaliknya ia ditentukan pada PRN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Azmi Hassan berkata, keputusan PRN Selangor dan Negeri Sembilan sangat penting untuk ‘kem’ Kerajaan Perpaduan mengetahui sejauh mana sokongan rakyat terhadap mereka.

Katanya, keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri tersebut kelak boleh dijadikan kayu pengukur kekuatan Kerajaan Perpaduan kerana pilihan raya tersebut membabitkan satu lagi komposisi gabungan berkenaan iaitu BN.

“Bagaimana UMNO hendak memujuk ahlinya mengundi calon PH yang akan terdiri daripada calon DAP walaupun mereka menggunakan simbol PH. Itu yang paling penting, ia akan menunjukkan kekuatan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini, keserasian yang ada dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah di peringkat atasan. Itu termaktub tapi belum berlaku di akar umbi.

“Jika betul naratif yang digunakan UMNO dan berjaya memujuk ahli akar umbinya mengundi calon DAP, maka boleh dikatakan bahawa keserasian antara kerajaan perpaduan complete,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat bahawa PRN di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memperlihatkan ‘status quo’ disebabkan negeri tersebut diramal kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, menurutnya, PN akan menjadikan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk menguji sejauh mana kekuatan ‘gelombang hijau’ yang dibawa ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kedah, Kelantan dan Terengganu tak boleh dijadikan penanda aras dalam konteks gelombang hijau. Negeri PH terutama Selangor dan Negeri Sembilan boleh dijadikan kayu ukuran mereka,” katanya.

Ditanya berhubung keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri tersebut pada PRU14 lalu yang memperlihat gabungan undi BN dan PH mampu menawan Terengganu dan Kedah, Azmi berkata, ia tidak boleh diguna pakai pada masa kini.

“Jika berdasarkan keputusan DUN 2018, memang Kedah dan Terengganu kalau digabungkan undi BN dan PH dibandingkan PN tinggi undi mereka, tapi itu data 2018.

“Kalau dikaitkan dengan data PRU tahun lepas, maka, terdapat banyak perubahan yang tidak menggambarkan senario (pilihan raya) 2018,” katanya.

Berdasarkan penelitian Utusan Malaysia terhadap keputusan PRU14 membabitkan pilihan raya DUN di Kedah, Terengganu dan Kelantan mendapati, gabungan PH dan BN boleh mendominasi di dua daripada negeri tersebut.

Negeri yang boleh diambil alih gabungan PH dan BN adalah Terengganu dan Kedah. Jika diambil kira undian diterima kedua-dua gabungan tersebut pada PRU12, Pas hanya mampu mengusai tiga daripada 36 kerusi di Kedah manakala di Terengganu hanya 15 daripada 32 kerusi.

Di Kelantan pula Pas masih mampu menguasai negeri tersebut namun hanya 30 daripada 45 kerusi dipertandingkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×