KUALA LUMPUR: Politik pada masa ini membuatkan DAP semakin tersepit dengan rakan gabungan yang ada melibatkan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta kerjasama baharu melibatkan UMNO.
Dalam keadaan sekarang, sasaran utama hanyalah terus mengukuhkan kedudukan parti sambil menggunakan kekuatan rakan gabungan untuk terus berkuasa dan menewaskan pihak lawan yang sentiasa mencari ruang dan kelemahan mereka.
PKR dan Amanah dilihat semakin merosot jumlah kerusinya, UMNO pula ‘panas’ dengan tindakan akar umbi yang masih tidak menerima kerjasama dengan DAP.
Menurut sumber iaitu pemimpin tertinggi DAP yang tidak mahu dinamakan memberitahu Utusan Malaysia, ia bukan salah parti itu.
Jelasnya, DAP hanya mengikut rentak yang dicaturkan sehingga wujudnya Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN), dengan tidak membuat sebarang bantahan.
Ini kerana jelas pemimpin itu, DAP tiada masalah dengan keadaan semasa politik hari ini, namun, parti itu dilihat menjadi masalah utama dalam gabungan kerajaan kini dengan mendakwa parti itu perkauman dan hanya memperjuangkan nasib satu kaum sahaja iaitu bangsa Cina.
“Itu masalah UMNO, bukan DAP. Mereka yang dahulunya memperjuangkan ‘No Anwar No DAP’, tetapi hari ini mereka menjemput kita untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO. Yang pasakkan pemikiran untuk membenci DAP adalah UMNO sendiri, bukan kami.
“Tetapi pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, mereka (UMNO) jemput, kita datanglah. Dalam keadaan yang memang tengah panas antara UMNO dan DAP, UMNO pula menjemput kita, salah DAP kah?” katanya ketika ditemui semalam.
Jelas pemimpin DAP itu, mereka sebenarnya positif menerima kerjasama dengan UMNO kerana beberapa faktor, antaranya melihat sokongan Melayu tidak cenderung kepada PKR dan Amanah meskipun kedua-duanya adalah parti Melayu.
Maka sebab itu jelasnya, kerjasama dengan UMNO sebenarnya dilihat mampu memberi keuntungan kepada DAP berikutan sokongan rakyat terhadap parti itu berbanding PKR dan Amanah, sekali gus boleh menewaskan lawannya iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Nak cakap terus terang dengan PKR dan Amanah, takut mereka berkecil hati dengan kita. Tetapi, kita lihat PKR dan Amanah tidak mampu pun untuk menarik sokongan Melayu walaupun mereka adalah parti Melayu, kerana mereka dilabel sebagai parti berbilang bangsa. Amanah pula dilihat memikul peranan seperti Pas, pun tetapi gagal juga.
“Melihat dari segi sumbangan PKR dan Amanah di Perak, Amanah hanya satu kerusi, PKR lima kerusi sahaja. Maksudnya dari segi delivery, memang teruklah. Peranan PMX sekarang pun dilihat tiada yang boleh dibanggakan. Dengan kos sara hidup tinggi, OPR tinggi. Apa yang boleh dibanggakan setakat ini? Tiada.
“Jadi, dalam dunia politik yang baru hari ini, kita ada UMNO, tetapi ahli UMNO tidak semuanya menerima DAP. Penerimaan penyokong DAP kepada UMNO sebenarnya tiada masalah. Kita minta mereka sokong UMNO, mereka akan sokong,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan UMNO setakat enam bulan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan ini, pemimpin DAP itu berkata, beliau tidak melihat sebarang perkembangan positif daripada parti itu.
“Saya tidak menjangka UMNO akan pulih, malah lebih teruk kerana pukulan yang terlalu kuat daripada PN. Sokongan Melayu terhadap PN kini masih sama dan dilihat meningkat. Apa jadi dengan UMNO nanti? Untuk melihat perkara tersebut, keputusan pilihan Raya Negeri (PRN) nanti akan menentukan segalanya,” ujarnya lagi.
PRN untuk Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijadualkan dalam tempoh tiga bulan akan datang kerana DUN di negeri itu akan tamat penggal tidak lama lagi. – UTUSAN











