PAPAR: Selepas lebih 10 tahun berhadapan dengan masalah air yang semakin teruk, sekumpulan penduduk Pangsapuri Melinsung Summer Bay Resort tampil membuat perhimpunan aman semalam.
Pengerusi Persatuan Komuniti Penduduk Melinsung Apartmen, Herman Jamal, 50, berkata, masalah air semakin meruncing sejak beberapa minggu lalu hingga menyebabkan ada penduduk yang terpaksa membeli air mineral untuk memasak.

Malah, ada penduduk yang terpaksa mengambil air di kolam renang apabila langsung tiada air.
Beliau berkata, bekalan air di kawasan perumahan yang dihuni lebih 1,000 penduduk itu dikawal sepenuhnya oleh pengurusan dan bukannya diperoleh secara langsung daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Ia menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk kerana apabila penduduk memohon bantuan daripada wakil rakyat untuk menghantar lori tangki air, pengurusan akan mengarahkan supaya air itu diisi ke dalam tangki mereka.
Penduduk tidak dibenarkan mengambil air secara langsung daripada lori tangki berkenaan dengan alasan pengisian tangki air pengurusan memudahkan penyaluran air ke rumah-rumah penduduk.
Namun, air yang dibekalkan tidak sampai ke rumah penduduk yang berada di tingkat dua dan tiga. Bekalan air hanya dapat disalurkan kepada penghuni di aras bawah sahaja.
“Bayangkan macam mana warga emas dan ibu mengandung mahu mengangkat air menggunakan gelen atau baldi untuk naik ke tingkat tiga berulang kali,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Hafiza Saad, 53, berkata, beliau agak beruntung kerana rumahnya di aras bawah jadi, beliau tidak perlu mengangkat air seperti penduduk yang tinggal di tingkat atas.- utusan











