Wajarkah caj ubat RM1 dinaikkan - Utusan Malaysia

Wajarkah caj ubat RM1 dinaikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang marah apabila kerajaan disaran oleh pakar-pakar kesihatan agar menaikkan caj RM1 kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan.

Cadangan itu timbul kerana caj yang dikenakan sejak dari tahun 1960-an lagi dianggap tidak masuk akal jika mengambil kira nilai ubat dan khidmat kesihatan yang diberikan sedangkan pada masa sama kakitangan klinik atau hospital berhadapan dengan beban kerja yang terlalu banyak.

Caj yang dibayar di klinik kesihatan kerajaan itu memang jauh beza dengan rawatan sama yang diberikan jika pesakit pergi ke klinik kesihatan. Misalnya demam biasa, klinik kesihatan kerajaan hanya RM1 manakala klinik swasta sekurang-kurangnya RM60.

Begitu juga dengan ujian saringan Covid-19 ketika pandemik. Klinik kerajaan hanya mengenakan RM1 untuk pendaftaran tetapi di klinik swasta, bayarannya jauh lebih tinggi dan ada yang sampai beratus ringgit.

Namun kemarahan orang ramai itu mungkin boleh difahami kerana pada masa sama terlalu banyak barang ke­perluan dan perkhidmatan yang harganya naik. Lagi pula ramai yang beranggapan perkhidmatan kesihatan sepatutnya diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Bukan sahaja harga makanan meningkat sehingga 30 peratus, caj bulanan perkhidmatan pembetungan, Indah Water Konsortium (IWK) pun juga sudah dinaikkan. Mungkin ramai tidak perasan dengan kenaikan itu kerana bilnya dihantar setiap enam bulan sekali.

Harga minuman kegemaran ramai, Milo yang beratnya dua kilogram juga sebenarnya meningkat dengan tinggi. Jika dahulu boleh dibeli di bawah harga RM30 tetapi hari ini harganya bermain sekitar RM35.

Mi segera seperti Maggie yang sudah sinonim dengan rakyat negara ini, jika dulu lima bungkus boleh dibeli de­ngan harga RM3.80 tetapi hari ini sudah mencecah RM5. Itu belum lagi dikira ikan, daging, ayam dan telur yang naik secara senyap-senyap di pasaran.

Selain harga naik, bekalan di pasaran juga kadangkala sukar diperoleh. Semua ini menambah keresahan dan beban rakyat.

Sebab itu ramai yang seperti tidak dapat menerima cadangan kenaikan caj klinik kesihatan kerajaan tersebut walaupun kenaikan yang dicadangkan daripada RM1 kepada RM5 dan untuk rawatan pakar pula dari RM5 kepada RM10 sebenarnya terlalu kecil.

Apalah nilai kenaikan RM5 itu yang bukannya setiap hari dibelanjakan berbanding dengan caj atau belanja lain seperti stesen televisyen berbayar, rokok dan makanan yang dibeli di kedai pada setiap hari yang jumlahnya jauh lebih besar.

Cumanya kalau kerajaan mahu menaikkan caj itu, biarlah perkhidmatan kesihatan dapat ditingkatkan dengan ditambah lagi klinik kesihatan, melantik lebih ramai kakitangan perubatan dan ubat yang dibekalkan lebih berkua­liti.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×