Pemuda UMNO mahu ‘perbetul rumah sendiri dahulu’

Pemuda UMNO mahu ‘perbetul rumah sendiri dahulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sayap-sayap pemuda Kerajaan Perpaduan tidak dijemput mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2023 kerana mahu memberi ruang kepada ahli parti itu terlebih dahulu untuk memperbetul kekeliruan yang berlaku dengan situasi politik hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perhimpunan kali ini sangat penting setelah UMNO hanya menang 26 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus mencatatkan jumlah paling rendah berbanding sebelum ini.

“Ini adalah perhimpunan pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO Ke-15. Kita buka dulu kepada Pemuda UMNO kali ini, tahun depan barulah kita mungkin menjemput sayap pemuda daripada Kerajaan Perpaduan. Kita berbeza dengan pimpinan atasan yang ada ura-ura untuk panggil pimpinan daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kita fokus untuk betulkan di dalam rumah sendiri dulu sebelum kita jemput orang luar masuk ke dalam rumah kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

MUHAMAD AKMAL SALEH

Muhamad Akmal berkata, perbincangan sesama pemuda Kerajaan Perpaduan tetap diadakan dari semasa ke semasa bagi meneliti hala tuju politik ke arah mencari persefahaman antara satu sama lain.

“Tidak jemput bukan bermakna kita ketepikan mereka, bukan. Tetapi kita nak fokus dengan isu-isu dalam rumah kita dulu,” katanya lagi.

Ditanya mengenai usul yang akan dibawa Pemuda pada perhimpunan kali ini, beliau berkata, isu-isu politik tidak menjadi keutamaan kerana permasalahan rakyat yang harus diselesaikan dengan segera, termasuk isu pemilikan rumah.

“Kita akan fokus kepada apa isu orang muda isu perumahan. Kita akan kemukakan beberapa polisi kerajaan dan kita nak beritahu mesej jelas, ahli UMNO kali ini perlu datang dengan cara baharu, lebih matang dan soal isu rakyat lebih daripada isu-isu politik yang tidak menguntungkan,” ujarnya.

Berhubung ‘kegagalan’ Pemuda membantu kemenangan UMNO pada PRU-15, beliau berkata, kali ini sayap parti itu akan memberi fokus kepada media baharu selain gerak-gempur yang biasa dilakukan supaya parti itu lebih diterima khususnya pada PRN kali ini.

“Saya nak kali ini Pemuda UMNO datang dengan semangat baharu, selepas kita kalah pada PRU-15, semangat kena baharu, perlu lebih segar dan matang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×