MRCB catat keuntungan sebelum cukai lebih rendah

MRCB catat keuntungan sebelum cukai lebih rendah suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM20.6 juta dan hasil sebanyak RM742.2 juta bagi suku pertama 2023, lebih rendah berbanding RM31.8 juta dan RM810.7 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Menurut MRCB, prestasi yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih rendah daripada Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan dan Alam Sekitar berikuran daripada penyiapan projek infrastruktur utama pada akhir 2022.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, perkara tersebut sebahagiannya telah diimbangi oleh prestasi daripada Bahagian Pembangunan Hartanah dan Pelaburan yang lebih kukuh.

“Bahagian Pembangunan dan Pelaburan Hartanah mencatatkan peningkatan 44 peratus dalam hasil kepada RM267.9 juta dan peningkatan 58 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM33.3 juta pada suku tersebut.

“Ini disebabkan oleh Sentral Suites, projek terbesar dalam bahagian tersebut yang mencapai 100 peratus penyiapan pembinaan dan projek TRIA 9 Seputeh dan Alstonia mencapai kemajuan pembinaan yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 96 peratus dan 61 peratus.

“Bahagian itu menjual hartanah bernilai RM85.1 juta pada suku pertama dan mempunyai jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM220.3 juta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, MRCB berkata, pegangan pelaburan Kumpulan dalam Sentral REIT dan Sentral REIT Management Sdn. Bhd. menyumbangkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2 juta.

Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan dan Alam Sekitar pula mencatatkan penurunan 25 peratus dalam hasil kepada RM458.5 juta dan penurunan 128 peratus dalam keuntungan operasi kepada RM7.2 juta.

Hasil dan keuntungan operasi yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh penyiapan projek infrastruktur Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) Pakej CB2 dan Transit Aliran Massa (MRT) 2 Pakej V210 pada akhir 2022.

Sebahagian besar daripada hasil bahagian tersebut disumbangkan oleh projek Transit Aliran Ringan (LRT)3, Muara Sungai Pahang Fasa 3 (Pakej 3) dan projek pembinaan PR1MA Brickfields.

Pada 31 Mac 2023, projek LRT3 mencapai kemajuan pembinaan fizikal sebanyak 84 peratus.

Sementara itu, buku pesanan pelanggan luar jangka panjang bahagian itu ialah RM26.4 bilion pada 31 Mac 2023, manakala bahagian belum dibilkan ialah RM17.0 bilion.

Strategi Kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaannya ke pasaran luar negara terus berkembang pesat, dan pembangunan kediaman pangsapuri 51 tingkat, 280 unit di Surfer’s Paradise di Gold Coast, Australia, VISTA, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AUD391 juta (RM1.2 bilion) telah dilancarkan pada 12 April 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×