PETALING JAYA: Untung bersih Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) meningkat 11 peratus kepada RM536 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (S1 2023) berbanding RM484 juta bagi suku keempat tahun lalu (S4 2022).
PCG dalam satu kenyataan berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia, serta permintaan yang semakin berkurang daripada pengguna dan juga sektor pembuatan, Kumpulan berjaya mengekalkan daya tahan kewangannya walaupun mengalami penurunan harga purata produk, terutamanya urea, ditambah dengan kos utiliti dan bahan api yang meningkat.
Katanya peningkatan untung bersih berkenaan diperoleh melalui sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu, terutamanya BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) menerusi penyebaran produk yang semakin meningkat daripada akrilik dan juga jumlah jualan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun pendapatan PCG berkurang sebanyak 13 peratus suku ke suku kepada RM7.6 bilion berikutan jumlah jualan yang lebih rendah disebabkan oleh permintaan yang berkurangan akibat daripada ketidaktentuan ekonomi dunia dan harga produk yang lebih rendah, selaras dengan penurunan harga tenaga.
“Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga menurun sebanyak 38 peratus suku ke suku kepada RM1.1 bilion berbanding S4 2022 sebanyak RM1.7 bilion.
“Ia disebabkan oleh jumlah jualan dan penyebaran produk yang lebih rendah, kos utiliti dan bahan api yang semakin tinggi dan kos pra-operasi daripada syarikat operasi bersama,” katanya.
Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, Kumpulan telah merekodkan suku yang kukuh walaupun berhadapan dengan permulaan tahun yang mencabar.
Katanya, meskipun PCG telah mengenal pasti beberapa pergerakan yang menggalakkan di daerah tertentu pada suku pertama, sektor kimia secara keseluruhan masih kekal berhati-hati lantaran harga tenaga yang masih tidak menentu.
“Selain itu, didapati bahawa permintaan daripada China untuk bahan kimia terpilih semakin meningkat berikutan Tahun Baru Cina, namun pemulihan sepenuhnya masih belum kelihatan setakat ini.
“Bukan itu sahaja, malah kos operasi juga semakin meningkat kesan daripada inflasi pada gas dan bahan api yang menyebabkan kenaikan kos tenaga dan utiliti, seterusnya mengurangkan lagi kadar penyebaran produk dan menambah tekanan kepada margin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PCG akan terus berhati-hati terhadap prospek 2023 berikutan perkembangan terkini sektor perbankan Amerika Syarikat dan potensi kesannya terhadap ekonomi sedunia, serta konflik Russia-Ukraine yang berpanjangan dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan.
“Tanpa mengambil kira faktor luaran, dalam jangka masa terdekat, kami akan memberi tumpuan bagi memastikan kelancaran operasi loji yang optimum dan kecemerlangan komersial untuk mengurangkan impak kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku,” katanya. – UTUSAN










