KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang menubuhkan Konsortium Rahmah bagi memikirkan inisiatif-inisiatif yang boleh diadakan untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, konsortium tersebut akan dianggotai oleh semua pemain industri dan menjemput syarikat-syarikat seperti pasar raya besar menyertainya.
Katanya, inisiatif di bawah konsortium tersebut bukan sahaja melibatkan menu Rahmah, tetapi juga program-program lain termasuk jualan dan pakej-pakej yang boleh ditawarkan.
“Insya-Allah, beri kami masa tiga bulan untuk kami lakukan satu hala tuju Rahmah yang akan memberi lebih banyak kebaikan dan manfaat kepada rakyat.
“Jadi, syarikat seperti pasar raya besar dan pasar raya juga dijemput untuk menyertai konsortium itu supaya satu pelan komprehensif dapat dilaksanakan supaya rakyat mendapat manfaat daripada program Rahmah yang kita adakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut di restoran tersebut di Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, menu Rahmah terbukti dapat mengurangkan inflasi makanan di luar rumah apabila inflasi melibatkan makan di luar rumah turun pada Mac kepada 9.3 peratus daripada 9.6 peratus sejak Ogos tahun lalu.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan insurans Rahmah, Salahuddin berkata, inisiatif tersebut akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Memerlukan masa sedikit untuk saya melancarkannya kerana bulan ini terlalu padat dengan program. Saya berjanji dan syarikat juga berjanji untuk lancarkan dalam masa terdekat.
“Semuanya telah kita muktamadkan dari segi bentuk tawaran pakej yg telah mereka kemukakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan gula dalam tempoh empat hari pihaknya mengumumkan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk menjual gula putih bertapis jernih.
Pada majlis tersebut, rangkaian restoran di bawah syarikat QSR Brands menjadi syarikat ke 3,000 melancarkan menu Rahmah dengan kualiti premium pada harga RM5 sahaja.
Menu Rahmah ditawarkan dengan pilihan dua jenis hidangan iaitu menu Rahmah KFC Meal bagi seketul ayam, roti butterscotch serta air mineral dan menu Rahmah Pizza Hut Meal piza ‘personal’ berserta air mineral. – UTUSAN










