PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih tinggi pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (S1 TK2023) berjumlah RM536 juta, peningkatan sebanyak 11 peratus daripada RM484 juta suku keempat tahun kewangan sebelumnya (S4 TK2022).
Kumpulan berjaya mengekalkan daya tahan kewangannya walaupun mengalami penurunan harga purata produk terutama urea, ditambah dengan kos utiliti dan bahan api yang meningkat.
Bagi tempoh berkenaan, pendapatan Kumpulan bagaimanapun berkurangan sebanyak 13 peratus suku ke suku kepada RM7.6 bilion berikutan jumlah jualan yang lebih rendah disebabkan oleh permintaan yang berkurangan akibat daripada ketidaktentuan ekonomi sedua dan harga produk yang lebih rendah selaras dengan penurunan harga tenaga.
“Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 38 peratus suku ke suku kepada RM1.1 bilion (S4 2022: RM1.7 bilion) terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan dan penyebaran produk yang lebih rendah, kos utiliti dan bahan api yang semakin tinggi dan kos pra-operasi daripada syarikat operasi bersama. Margin EBITDA menurun kepada 14 peratus (S4 2022: 20 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Menurut PCG, PAT meningkat melalui sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu,
terutamanya BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. (BPC) menerusi penyebaran produk yang semakin meningkat daripada akrilik dan juga jumlah jualan yang lebih tinggi.
Jelasnya, jumlah jualan bahan kimia asas menurun sebanyak 9 peratus berikutan kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 96 peratus (S4 2022: 100 peratus) disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan yang dijalankan di pelbagai kemudahan. – UTUSAN










