PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, terus menurun kepada negatif 3.0 peratus pada April 2023, berbanding negatif 2.9 peratus bulan sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, penguncupan itu disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan perlombongan.
Jelasnya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan terus menunjukkan trend negatif selama 10 bulan berturut-turut, merekodkan negatif 26.0 peratus berbanding negatif 28.7 peratus pada Mac 2023.
“Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.2 peratus pada April 2023 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Jabatan Perangkaan turut menjelaskan bahawa, ketidaktentuan harga terutamanya dalam tenaga dan produk makanan memberi kesan kepada IHPR di kebanyakan negara.
Katanya, IHPR Amerika Syarikat (AS) meningkat 2.3 peratus selepas peningkatan 2.7 peratus pada Mac 2023, yang boleh dilihat pada permintaan makanan akhir terutamanya dalam indeks buah-buahan segar dan tembikai serta telur untuk kegunaan segar.
Inflasi pengeluar tahunan Jerman pula meningkat 4.1 peratus (Mac 2023: 6.7 peratus), di mana kesemua kategori menunjukkan peningkatan secara perlahan. Walau bagaimanapun, inflasi pengeluar India turun negatif 0.9 peratus (Mac 2023: 1.3 peratus), pertama kali sejak Julai 2020.
Harga pengeluar China pula turun negatif 3.6 peratus berbanding negatif 2.5 peratus pada bulan sebelumnya. IHPR Jepun meningkat pada kadar yang perlahan 5.8 peratus berbanding 7.4 peratus bulan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan turut menyatakan bahawa, dalam Global Commodity Market Outlook terkini edisi April 2023, Bank Dunia menyatakan bahawa harga komoditi dijangka 21 peratus lebih rendah secara keseluruhan pada 2023 berbanding 2022.
“Ini khususnya kepada harga tenaga, minyak mentah, harga pertanian dan baja. Pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi yang perlahan dan pengagihan semula aliran perdagangan komoditi global. Walaupun dijangka
berlaku penurunan besar pada tahun ini, harga semua komoditi utama akan kekal di atas paras harga purata pada 2015-2019,” jelas laporan itu. – UTUSAN











