RM50 juta diperuntuk untuk keusahawan francais tahun ini

RM50 juta diperuntuk untuk keusahawan francais tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperuntukkan sejumlah RM50 juta khusus untuk Skim Pembiayaan Francais dan Pra Francais pada tahun ini untuk pembangunan perniagaan francais.

Menurut KUSKOP, dalam usaha membantu usahawan francais tempatan di Sabah berkembang dengan lebih jauh, Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 66 syarikat dengan jumlah RM14,667,149 juta sejak 2009.

Antara jenama francais tempatan yang menerima pembiayaan ialah Mok Corner yang melancarkan penjenamaan semula semalam. Jenama itu telah menerima pembiayaan sebanyak RM1 juta sejak 2019.

“Menerusi bimbingan Pernas, Mok Corner berjaya mendapat lesen francais pada 2016 dan kini mempunyai 39 cawangan di mana 18 cawangan dijalankan oleh francaisi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, perkembangan perniagaan jenama Mok Corner menunjukkan jenama tempatan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sekali gus membuktikan jenama tempatan mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa.

“Kemunculan jenama francais tempatan dari Sabah seperti Kak Nong, Al-Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen dan Daily Electronic Centre (DEC) juga turut merancakkan industri francais.

“Perkembangan positif ini juga menjadi pemangkin kepada bakal usahawan dan usahawan di Sabah untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya.

Ewon menyampaikan replika cek kepada Mok Sdn. Bhd. (MSB), Happy Potato Sdn. Bhd. dan Tasek Emas Enterprise (Alap-Alap) dengan jumlah keseluruhan RM2.176 juta dalam satu majlis di Penampang, Sabah, semalam. Beliau turut menyampaikan Sijil Pra-Francaisor kepada Skippee yang merupakan jenama di bawah Progam Business In Transformation (BIT) Pernas.  Majlis turut dihadiri Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin.

KUSKOP memberitahu, sejak 2004, sebanyak RM428 juta telah disalurkan kepada 2,162 usahawan untuk pembangunan industri francais negara.

“KUSKOP menerusi Pernas terus komited melaksanakan semua inisiatif untuk memastikan kemajuan dan kejayaan usahawan fraincais. Ini bertepatan dengan ikhtiar Bitara MADANI yang memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan yang memerlukan jangka masa yang panjang dalam merealisasikan kejayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×