KUALA LUMPUR: UMNO dan DAP tidak boleh menggunakan naratif sama bagi memujuk ahli kedua-dua parti itu menyokong satu sama lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana kedua-dua parti itu mempunyai sensitiviti berbeza iaitu UMNO masih dengan perjuangan agama dan bangsa yang tidak semudah itu untuk pengundi parti tersebut memberi undi kepada calon bukan Melayu.
Bagaimanapun, menurut beliau, bagi DAP pula penyokong parti bukan Melayu itu boleh mengundi calon UMNO kerana tidak mahu memberi kemenangan kepada seterunya parti di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).
Oleh itu, kata Azmi, UMNO khususnya perlu mengubah naratif dengan tidak ‘memujuk’ secara terang-terangan supaya ahli-ahlinya mengundi calon DAP sebaliknya perlu menekankan penyokong perlu memilih calon Kerajaan Perpaduan.
“Memang agak sukar untuk memujuk ahli UMNO menyokong DAP dan strategi itu tidak betul kerana UMNO dan DAP sukar untuk bersama walaupun dalam kerajaan perpaduan.
“Naratif itu tidak boleh diguna sebaliknya UMNO perlu mengajak ahli-ahlinya mengundi calon di bawah kerajaan perpaduan.
“Jadi, dengan cara itu mungkin kendur sedikit pantang larang untuk mengundi DAP kerana itu naratif yang digunakan untuk mengundi PN sebab ahli UMNO memang tidak akan undi DAP.
Jadi, UMNO perlu menukar naratifnya bahawa betapa pentingnya kerajaan perpaduan itu kekal,” katanya.
Isu UMNO di bawah satu bumbung dengan DAP mencetus kebimbangan banyak pihak dalam kerajaan perpaduan terutama di peringkat akar umbi kerana dikhuatiri ramai penyokong UMNO akan menolak calon DAP pada PRN nanti.
GABUNGAN
Minggu lalu, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa penyokong UMNO dan BN perlu menyokong gabungan kerajaan perpaduan atau parti komponen di bawahnya tanpa menyebut perlu memilih calon DAP.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, dalam hal ini juga, DAP mempunyai pendapat berbeza dengan UMNO meskipun sebelum ini adalah seteru selama puluhan tahun.
Pendekatan untuk menyokong calon UMNO jelasnya lagi, mungkin akan diterima lebih positif oleh ahli-ahli DAP sebagai strategi untuk menewaskan PN.
“Saya melihat ahli-ahli DAP akan sokong UMNO kerana jika mereka tidak sokong UMNO sama seperti mereka memberi kemenangan kepada PN. Jadi ini naratif yang betul untuk dijual dalam kalangan DAP. Kalau anda tidak menyokong UMNO, maka yang menjadi kuatnya adalah Pas dan Bersatu,” katanya.
Penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir turut berpandangan, sehingga hari ini beliau melihat ahli UMNO masih ‘berat’ untuk mengundi calon DAP meskipun cuba untuk mengalih pandangan dengan meletakkan naratif kerajaan perpaduan.
Jelas beliau, isu agama dan bangsa sudah pasti menjadi perkiraan untuk ahli UMNO memberi undi kepada calon DAP.
“Berat orang UMNO nak memangkah DAP, sebab banyak sangat pengalaman ngeri dan tidak enak dengan DAP, walaupun di luar DAP nampak diam dan mesra dengan pemimpin UMNO.
“Tetapi melihat kepada perkembangan semasa, sangat susah untuk pemimpin UMNO menyeru ahlinya untuk pangkah calon DAP,” kata beliau.- UTUSAN











