PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan jawapan bertulis Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam mengesahkan bahawa tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Perikatan Nasional (PN) adalah rekaan serta pembohongan semata-mata.
Justeru, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengesahan oleh Ahli Parlimen Pengerang itu bahawa tiada satu pun parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi dalam pilihan raya umum lepas membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar sudah melakukan fitnah.
“Jawapan bertulis Azalina di Dewan Rakyat, bertarikh 25 Mei (semalam) itu juga secara terang lagi bersuluh mengesahkan bahawa tuduhan Anwar ke atas PN pada 5 Disember 2022 dan diulanginya pada 6 Disember 2022 adalah rekaan serta pembohongan semata-mata.
“Sama sebagaimana beliau tanpa rasa bersalah membohongi rakyat dengan pelbagai janji yang tidak ditunaikan seperti janji turun harga minyak, janji selesaikan kos sara hidup, janji menentang nepotisme, dan janji perangi rasuah, tetapi melantik Timbalan Perdana Menteri yang terbukti terdapat prima facie dan sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri dalam sidang medianya mendedahkan, PN berkemungkinan memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Bagaimanapun, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dilapor berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan kajian terperinci, namun tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerimanya, maka tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu berkenaan.
Namun, Azalina dalam kenyataan hari ini menegaskan, mana-mana pihak tidak wajar mempolitikkan dan memutarbelitkan status siasatan SPRM terhadap dakwaan tersebut kerana jawapan dalam Dewan Rakyat tidak menyatakan siasatan berkenaan sudah dihentikan atau digugurkan.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, gabungan itu sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar seperti mana yang dijelaskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN











