Ringgit jatuh ke paras terendah enam bulan berbanding dolar AS

Ringgit jatuh ke paras terendah enam bulan, 4.63 berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus berada di bawah tekanan berikutan hasil perbincangan siling hutang Amerika Syarikat (AS) kekal tidak menentu menjelang tarikh akhir awal Jun ini.

Pada pembukaan dagangan pukul 9 pagi ini, mata wang tempatan jatuh ke paras terendah enam bulan pada 4.6280/6305 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis 4.6245/6285.

Memetik laporan Bernama, Ketua ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah Fitch Ratings meletakkan penarafan kredit AS daripada AAA kepada pengawasan negatif terhadap risiko kemungkiran, menunjukkan penurunan taraf sedang menanti.

“Ini boleh menjelaskan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, kerana hasil nota 10 tahun hampir lapan mata asas lebih tinggi pada 3.82 peratus. Oleh itu, kami menjangkakan turun naik itu akan berterusan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berpendapat, bahawa pasangan mata wang USD/MYR telah melepasi tahap rintangan sebelumnya 4.6257, dan menjangka tahap rintangan seterusnya pada 4.7495.

Katanya, ia masih kekal dilihat sama ada Kongres AS akan bersetuju untuk menaikkan siling hutang tidak lama lagi.

Tambahnya, seseorang tidak boleh sama sekali mengabaikan sudut politik kerana Republikan mungkin memanfaatkan keadaan berikutan penarafan kelulusan presiden yang lebih rendah.

“Butiran perjanjian itu juga penting, kerana jika melibatkan pemotongan perbelanjaan, ia mungkin mempunyai implikasi kepada pertumbuhan,” tambah beliau lagi.

Dalam konteks domestik, pelabur dilaporkan akan memantau dengan teliti data inflasi April yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat.

Pada Mac, inflasi berkurangan kepada 3.4 peratus daripada 3.7 peratus bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali euro di mana mata wang tempatan itu susut kepada 4.9635/9662 daripada 4.9630/9673 penutupan semalam.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.3086/3106 daripada 3.3141/3172 dan mengukuh berbanding pound kepada 5.7026/7057 daripada 5.7247/7296.

Mata wang negara itu juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain. Ringgit bertambah baik berbanding dolar Singapura pada 3.4168/4191 daripada 3.4202/4237 semalam, dan meningkat berbanding baht Thailand pada 13.3306/3440 daripada 13.3602/3776.

Bagaimanapun, ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.4/309.8 daripada 309.2/309.6 dan tidak berubah berbanding peso pada 8.25/8.26. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×