PETALING JAYA: Dianggarkan 80 peratus produk vape (rokok elektronik) haram berada dalam pasaran tempatan yang dikhuatiri memberi kesan terhadap kesihatan penggunanya memandangkan tiada pemeriksaan SIRIM Berhad (SIRIM) dan pengawalseliaan ke atas kandungan dalam perisanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn. Bhd. (Nanostix), Shahabudeen Jalil berkata, kemasukan produk-produk vape haram itu perlu dipandang serius supaya tidak terus berleluasa.
Katanya, pengeluaran produk vape terbahagi kepada dua jenis iaitu yang menepati segala piawaian ditetapkan antarabangsa dan satu lagi adalah produk diseludup masuk dari luar negara.
“Produk vape yang berbahaya atau haram ini adalah jenama-jenama yang diseludup dari luar negara. Ia didapati tidak menepati piawai ditetapkan antarabangsa. Malah, ia diharamkan di negara pengeluar sendirinya.
“Kami di Nanostix misalnya adalah antara syarikat yang terawal mendapatkan sijil perlesenan dari SIRIM supaya produk kami selamat digunakan pengguna. Malah, perisa dikeluarkan oleh kami juga dibuat secara tempatan serta boleh diakses pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan kos rawatan penyakit kecederaan paru-paru atau Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.
Sementara itu, Shahabudeen berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada permintaan vape haram di dalam pasaran, iaitu antaranya harganya jauh lebih rendah berbanding vape berlesen.
“Harga vape haram menjadi lebih murah kerana mereka tidak membayar cukai. Jadi, ia tidak terikat untuk mengikut mana-mana peraturan yang ditetapkan kerajan dalam memasarkan produk.
“Produk haram tersebut juga dijual secara berleluasa di kedai-kedai runcit tanpa kawalan sedangkan vape sepatutnya hanya di jual di kedai-kedai eksklusif khas bagi membantu perokok berhenti merokok,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu agresif dan tegas dalam membasmi penjualan vape haram yang kini dilakukan secara terbuka. – UTUSAN










