PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.37 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (S1 TK23), peningkatan sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun.
Bagi tempoh berkenaan, pemaju perumahan terkemuka itu merekodkan pendapatan berjumlah RM384.86 juta.
Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan Syarikat dengan menyumbang lebih 96 peratus daripada jumlah pendapatan pada RM370.44 juta.
“Pendapatan segmen ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di KITA @ Cybersouth, Bukit Jalil dan LBS Alam Perdana.
“Sehingga 24 Mei 2023, LBS telah memperoleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM526 juta daripada hartanah rumah mampu milik dengan tempahan sebanyak RM589 juta.
“Di samping itu, LBS mempunyai 22 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM6.5 bilion. Pada 30 April 2023, LBS mempunyai jualan tanpa bil sebanyak RM2.39 bilion, yang dijangka akan memberikan pendapatan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, Syarikat berusaha meningkatkan keuntungan bersih dengan positif, di mana LBS telah merekodkan margin keuntungan bersih yang luar biasa kepada 9.5 peratus berbanding 8.3 peratus bagi suku pertama 2022.
Jelasnya, ia berikutan pelan strategik dan kawalan kos yang disiplin bagi mengoptimumkan margin Syarikat.
“LBS turut merekodkan jualan hartanah sebanyak RM526 juta setakat ini. Untuk itu, LBS akan terus melancarkan kempen pemasaran kreatif bagi menarik lebih ramai pembeli, seperti kempen terbaru kami iaitu “Rezeki Ekstra Dikongsi Kembali”.
“Kempen ini menawarkan tawaran menarik kepada pembeli rumah untuk memenangi “Duit Raya” bernilai lebih RM438,000 dengan enam ganjaran bonus menarik untuk pembeli rumah LBS.
“Di samping itu, kami turut merancang pelancaran projek-projek lain untuk tahun 2023 yang dijangka akan meningkatkan jualan hartanah LBS bagi baki tahun ini. Dengan strategi yang memberi penekanan kepada kehendak pembeli rumah, kami optimis bahawa kami dapat memenuhi sasaran jualan kami,” katanya.
Tambah beliau, meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus, Syarikat percaya bahawa produk yang berada dalam lingkungan perumahan mampu milik dan terletak di kawasan strategik akan terus menerima permintaan yang kukuh.
“LBS juga dibantu oleh inisiatif ekonomi yang positif seperti keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberi subsidi harga simen bagi pembinaan rumah mampu milik berharga di bawah RM300,000,” katanya. – UTUSAN











