SINGAPURA: Ekonomi Singapura menguncup pada suku pertama, meningkatkan risiko kemelesetan di negara kota itu apabila prospek ekonomi global semakin lemah dan rakan dagang utama China itu bergelut untuk bangkit selepas pasca pandemik.
Singapura, hab kewangan utama, bergantung pada aliran perdagangan untuk memastikan ekonominya sentiasa berkembang, walaupun permintaan luar telah goyah berikutan peningkatan kos pinjaman dan tekanan inflasi yang masih kukuh.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 0.4 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2023, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, mengatasi jangkaan 0.1 peratus yang dibuat sebulan lalu.
Namun, pada asas pelarasan suku ke suku tahun, ekonomi menyusut 0.4 peratus, pembalikan daripada pertumbuhan 0.1 peratus pada suku keempat 2022, menyebabkan negara kota mewah itu berisiko mengalami kemelesetan teknikal sekiranya berlaku satu lagi penguncupan pada suku semasa.
Ahli Ekonomi Maybank, Chua Hak Bin berkata, kemelesetan teknikal yang ditakrifkan sebagai penguncupan dua suku berturut-turut, mungkin berlaku jika rangsangan daripada pembukaan semula China gagal menjadi kenyataan pada suku kedua.
“Kepulangan pelancong China lebih banyak daripada kedatangan setakat ini,” katanya, lapor Reuters.
Kementerian Perdagangan Singapura bagaimanapun berkata, ia tidak menjangkakan kemelesetan teknikal tahun ini tetapi mengakui prospek permintaan luar untuk sepanjang tahun itu telah lemah.
Ketua Ekonomi di kementerian berkenaan, Yong Yik Wei berkata, kerajaan menjangka pertumbuhan suku tahunan yang rendah pada separuh pertama tahun ini dan momentum meningkat selepas itu.
“Namun jelas sekali, anda tahu, memandangkan risiko penurunan dan prospek yang semakin lemah, kami tidak boleh menolak kemungkinan terdapat beberapa suku merekodkan pertumbuhan negatif suku ke suku tahun ini,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, bank pusat Singapura, Monetary Authority of Singapore (MAS) berkata, dasar monetari semasanya adalah sesuai, namun ia sentiasa memantau kedua-dua arah aliran pertumbuhan dan inflasi.
MAS mengekalkan kadar faedah bulan lalu, selepas menaikkannya sebanyak lima kali dari Oktober 2021, termasuk dua kenaikan pada Januari dan Julai tahun lalu.
Kementerian Perdagangan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 0.5 hingga 2.5 peratus tahun ini.
Namun, Chua menyatakan rasa terkejut apabila unjuran pertumbuhan itu dikekalkan.
“Kami kurang optimistik dan melihat ekonomi terbantut daripada melantun semula pada suku akan datang,” katanya. – AGENSI










