Kelantan mundur: Mengapa Abdul Hadi tidak salahkan Mahathir?

Kelantan mundur: Mengapa Abdul Hadi tidak salahkan Mahathir?

MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang wajar menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menjadi punca Kelantan berdepan masalah bekalan air bersih, kediaman dan barangan keperluan harian.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau hairan mengapa Abdul Hadi menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan Dr. Mahathir pernah menjadi Menteri Kewangan sebelum dan selepas Anwar..

Beliau turut pelik kerana Anwar hanya menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1991 ketika beliau menjadi Naib Presiden UMNO sehinggalah dipecat daripada parti dan kerajaan pada 2 September 1998 manakala baharu enam bulan menjadi Perdana Menteri bermula pada 24 November lalu.

“Peliknya, kenapa tidak dipersalahkan Mahathir yang menjadi bos kepada PMX (Perdana Menteri ke-10) pada tahun 1991? Mengapa tidak dipersalahkan juga Menteri Kewangan sebelum dan selepas Anwar pada tahun 1998?

“Peliknya, kenapa Presiden Pas tidak timbulkan hal ini di Parlimen dan menyatakan secara berdepan kepada PMX bahawa beliaulah penyebab rakyat Kelantan minum air kotor. Ini tidak, masa soal jawab bersama Perdana Menteri tidak hadir, dan jika pun hadir, diam sahaja,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Abdul Hadi yang menyalahkan Anwar sebagai punca negeri Kelantan menghadapi masalah bekalan air bersih, kediaman dan barangan keperluan harian.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, ini kerana kerajaan Pusat tidak menghormati prinsip demokrasi dengan menyekat bantuan kepada kerajaan negeri bermula sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan lagi. 

Pada masa sama, Mohammad Agus mempertikaikan usaha Pas untuk membangunkan Kelantan selama 33 bulan semasa menjadi kerajaan Pusat untuk bersuara menuntut hak Kelantan, malah menarik tuntutan royalti minyak yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Mudahnya menyalahkan orang lain tanpa melihat kelemahan sendiri. Islam tidak ajar macam itu. Islam mahukan kerajaan yang cekap dan berkemampuan dengan melantik pegawai yang berkelayakan, bukannya mengamalkan kronisme. 

“Islam juga mahukan pemimpin melaksanakan janji-janji pembangunannya, bukan sekadar mengumumkan projek, meletakkan batu asas dan selepas itu diam,” katanya.

Jelasnya, Pas sebagai parti pemerintah Kelantan perlu mempunyai idea dan perancangan untuk memajukan negeri tetapi sayang kering ideanya di samping banyak kelemahan kepimpinan dan disembunyikan dengan menggunakan bangsa dan agama.

“Inilah yang merisaukan saya. Berpuluh tahun menjadi kerajaan, masalah keperluan asas negeri tidak selesai. Jika ditegur, muncul pengkritik tegar yang marah-marah sedangkan tujuan teguran adalah untuk kebaikan negeri dan rakyat,” luah beliau.

Justeru beliau menyeru semua anak muda dan rakyat Kelantan di mana juga berada bagi mencari kaedah untuk membangunkan Kelantan dengan penyelesaian mudah iaitu mereka patut keluar daripada kepompong Pas dan memilih pemimpin yang komited untuk membangunkan Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×