PETALING JAYA: Deleum Berhad akan menumpukan kepada pertumbuhan hasil dirangsang oleh unjuran peningkatan perbelanjaan modal global dalam sektor minyak dan gas (O&G), berpunca daripada permintaan kukuh bagi tenaga fosil.
Pembekal perkhidmatan O&G itu berhasrat untuk meluaskan penawaran produk dan perkhidmatan serta kehadiran serantaunya.
Deleum akan terus melabur dalam proses dan sistem untuk menyepadukan perkhidmatannya pada platform yang lancar dan mantap, meningkatkan kapasiti syarikat untuk memenuhi keperluan pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rao Abdullah berkata, Deleum memperluaskan penawaran produk dan perkhidmatannya serta mengembangkan jejak geografi syarikat, khususnya di Indonesia dan Thailand.
“Kami perlu meletakkan sasaran pada dorongan pertumbuhan kami yang seterusnya untuk mencipta pendapatan yang mampan.
“Itu akan membolehkan Deleum menyokong dan meningkatkan pangkalan pelanggan serantau dengan lebih baik apabila permintaan meningkat.
“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif strategik dan memanfaatkan kelebihan daya saing kami dengan berkesan untuk meneruskan rekod prestasi pendapatan yang terpuji,” katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia.
Deleum juga sedang mencari syarikat teknologi untuk bekerjasama bagi memupuk inovasi teknologi dalam produk dan perkhidmatannya sambil mengekalkan kelebihan daya saingnya.
Syarikat itu berkata, potensi perkongsian dan kerjasama dengan rakan kongsi teknologi bersesuaian dengan matlamat Deleum untuk mencapai pertumbuhan transformatif tahun ini dan pada masa hadapan.
Pada mesyuarat am tahunan Kumpulan, Deleum telah melantik Tan Sri Shamsul Azhar Abbas sebagai Pengerusi baharunya, berkuat kuasa 1 Jun 2023.
Shamsul akan menggantikan Datuk Izham Mahmud yang akan kekal dalam Lembaga Pengarah Deleum sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas.
Shamsul menyertai Lembaga Pengarah pada 9 Jun 2022. Beliau mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam industri O&G dan telah berada dalam industri lebih 40 tahun.
Beliau juga pernah berkhidmat di pelbagai lembaga pengarah syarikat tersenarai awam.
Deleum mencatatkan hasil sebanyak RM698.0 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK22), meningkat 25.0 peratus daripada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh perbelanjaan yang menggalakkan dalam sektor O&G. – UTUSAN










