PETALING JAYA: Perdagangan menggunakan mata wang dua hala antara negara dagangan merupakan langkah yang ideal dan baik untuk dilaksanakan oleh Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebergantungan terhadap mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan sesebuah negara itu terdedah kepada kemeruapan dalam pasaran mata wang.
“Itu terutamanya apabila terdapat perubahan dalam dasar monetari seperti yang berlaku sekarang. Dasar monetari yang ketat di AS telah menyebabkan kenaikan nilai dolar AS yang mendadak.
“Justeru, penggunaan mata wang dua hala dilihat boleh mengurangkan masalah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas kelebihan pertukaran mata wang dua hala antara Malaysia dan negara dagangan lain, mengambil kira kedudukan ringgit yang dilihat semakin melemah berbanding dolar, sekali gus boleh memberi kesan kepada perdagangan negara terutama melibatkan produk import.
Pada pagi semalam, ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS walaupun nilai dolar AS bergerak lebih kukuh apabila pelabur memberikan perhatian kepada penyelesaian rundingan berkenaan siling hutang Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5320/5375 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat minggu lepas pada 4.5350/5405.
Menurut Mohd. Afzanizam, Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen dijangka memberikan makluman terkini mengenai tarikh akhir siling hutang serta jumlah wang tunai yang boleh dibelanjakan oleh kerajaan AS untuk urusan operasinya buat masa ini.
Selain itu, beliau berkata, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diterbitkan pada Rabu dan pada Jumaat, pelabur sudah boleh meneliti ukuran inflasi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Kami percaya ganding dolar-ringgit AS akan diniagakan agak hampir kepada paras halangan RM4.5491 dalam tempoh sementara sehingga pelabur melihat lebih jelas mengenai kebuntuan siling hutang AS diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff sebaliknya berpendapat, walaupun perdagangan mata wang dua hala, ringgit masih tertakluk kepada perubahan dolar memandangkan dolar AS merupakan mata wang utama yang didagangkan di dunia.
Namun, jelasnya, ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan kebergantungan ringgit kepada dolar AS apabila perdagangan melibatkan mata wang dua hala akan meningkat permintaan mata wang tersebut terutamanya jika lebih banyak eksport berbanding import.
“Walaupun cara tersebut merupakan langkah yang baik, saya lebih bersetuju sekiranya mata wang ringgit ditambat dengan komoditi supaya ia lebih stabil,” katanya. – UTUSAN










