Northport menang Anugerah Keselamatan Antarabangsa berprestij

Northport menang Anugerah Keselamatan Antarabangsa berprestij daripada British Safety Council

AZMAN Shah Mohd. Yusof (kanan) menerima Anugerah Keselamatan Antarabangsa 2023 daripada Peter McGettrick di London.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, memenangi Anugerah Keselamatan Antarabangsa 2023 yang berprestij daripada British Safety Council.

Majlis penyampaian anugerah telah diadakan di Hotel Landmark, London pada 19 Mei lalu, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof menerimanya daripada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah British Safety Council, Peter McGettrick.

Menurut Northport, British Safety Council merupakan badan penganugerahan dikawal selia oleh kerajaan yang mematuhi pelbagai syarat ditetapkan oleh pengawal selia supaya ketelitian dan konsistensi dalam pemberian kelayakan dikekalkan.

Katanya, anugerah itu mengiktiraf dan meraikan organisasi dari seluruh dunia yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam memastikan pekerja dan persekitaran kerja yang sihat dan selamat.

“Jumlah permohonan bagi anugerah tersebut meningkat dengan ketara daripada 647 pada 2022 kepada 978 pada 2023, mencerminkan pengiktirafan dan penghargaan global yang semakin meningkat bagi memenangi Anugerah Keselamatan Antarabangsa yang berprestij dari British Safety Council,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Azman berkata, komitmen terhadap Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) adalah keutamaan utama bagi Northport.

Pengiktirafan itu katanya, adalah bukti kerja keras dan dedikasi pasukan, rakan niaga serta pihak berkepentingan Northport.

“Kami amat berbangga dapat memimpin usaha bagi mempromosi kesejahteraan pihak berkepentingan dan kami akan terus mengekalkan tahap keselamatan tertinggi di dalam perjalanan kami ke arah kecemerlangan HSE,” katanya.

Anugerah Keselamatan Antarabangsa yang berprestij dari British Safety Council ini adalah antara beberapa anugerah lain yang dirangkul oleh Northport di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk inisiatif
dan program HSE mereka.

Pada 2019, Northport menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang dianugerahkan standard piawaian ISO 45001:2018. Pensijilan tersebut membuktikan komitmen Northport untuk mengendalikan perniagaan dan aktivitinya pada tahap tertinggi sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh organisasi mereka.

Pada Mei 2022, Northport telah diumumkan sebagai pemenang anugerah berprestij International Association of Ports and Harbors (IAPH) 2022 Sustainability Award, di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti semasa Persidangan
Pelabuhan Dunia IAPH 2022 yang telah diadakan di Vancouver, Kanada.

Pada November 2022 pula, Northport telah menyapu bersih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020/2021. Syarikat tersebut telah membawa pulang tiga anugerah iaitu anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO of the Year) untuk
Sektor Swasta, Perkhidmatan Perniagaan dan Mentor-Mentee (Mentor).

Acara yang dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) tersebut adalah merupakan salah satu acara paling berprestij di Malaysia bagi memberi penghormatan kepada organisasi dan individu yang telah menunjukkan prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang cemerlang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×