KUCHING: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah seluruh rakyat merapatkan jurang perbezaan kaum dan agama bagi memastikan negara kekal harmoni.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, bagi mencapai matlamat itu, perkara tersebut harus dipraktikkan dahulu di rumah, dalam masyarakat dan kemudian di seluruh negara.
“Malaysia negara berbilang kaum, berbilang agama namun antara kita semua tidak boleh menjadikan perbezaan tersebut sebagai jurang dan memecah-belahkan perpaduan.
“Apa yang harus kita laku kurangkan perbezaan sesama kita untuk memastikan perpaduan menjadi aset Malaysia,” titah Al-Sultan Abdullah.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan di Waterfront Kuching semalam.
Sambutan Minggu Perpaduan adalah inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang akan disambut di seluruh negara pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun.
Tahun ini, Kuching terpilih sebagai tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan bersempena pengiktirafan bandar ini sebagai Bandaraya Perpaduan.
Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan melancarkan lagu tema perpaduan yang menggabungkan pelbagai dialek di Malaysia bertajuk Setia Perpaduan.
Lagu tersebut digubah daripada cetusan idea Yang diPertuan Agong sendiri untuk menerapkan semangat perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Lagu tersebut ciptaan Datuk DJ Dave dan liriknya dihasilkan Prof. Dr. Lim Swee Tin.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemimpin politik perlu bersama-sama rakyat untuk memupuk semangat perpaduan.
Menurut beliau, usaha tersebut akan menjamin masa depan generasi mewarisi negara yang aman, makmur dan damai sejahtera.- UTUSAN











