Buang rasa malu, penat tampung pengajian universiti

Buang rasa malu, penat tampung pengajian universiti

Pelajar USM, Muhammad Nur Akmal Mohd. Rizal (kiri) mampu memperoleh kira-kira RM50 sehari dengan melakukan kerja penghantar makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segelintir mahasiswa institusi pengajian tinggi membuang rasa malu dan penat dengan melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menampung kos pembelajaran dan sara hidup di kampus.

Pelbagai pekerjaan mereka lakukan seperti bekerja di pasar raya, penghantar makanan, pembantu kafe, jurufoto sambilan dan juga ada yang berniaga dalam talian menjual kek yang dibuat sendiri.

Ini kerana wang pinjaman daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga duit poket yang diberi ibu bapa mungkin tidak mencukupi untuk menampung pelbagai perbelanjaan seperti buku, pelbagai peralatan kerja kursus, makanan, pengangkutan dan keperluan harian.

Mahasiswa Sarjana Falsafah Kerja Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Adibah Azman, 24, berkata, dia berniaga secara sambilan dengan menjual kek dalam talian bagi menampung kos pengajian dan kehidupan di kampus selain wang yang diberikan oleh ibu bapa.

“Keuntungan jualan boleh mencecah RM370 dalam sebulan, kerana saya mengambil tempahan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

“Bekerja adalah perkara biasa dalam hidup saya kerana sudah mula berniaga kecil-kecilan dari zaman sekolah sehingga kini di alam universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, dia tidak dibesarkan dalam keluarga yang serba mewah, bapanya seorang mekanik, ibunya pula pernah berniaga di kantin sekolah agama dan menjual makanan sarapan pagi di tepi jalan.

“Perkara itu mengajar saya mencari duit bukanya senang, jadi apabila sudah dewasa saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya lagi untuk hidup selesa di kampus, jadi saya membuat kerja sambilan.

“Walaupun banyak yang berkata daripada sambung belajar lebih baik bekerja tetapi saya percaya pendidikan amat penting dan mampu meningkatkan taraf hidup keluarga menjadi lebih baik suatu hari nanti,” katanya.

ADIBAH Azman membuat kek untuk dijual bagi mencari pendapatan
buat menampung pengajiannya di universiti.

Sementara itu, mahasiswa Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Nur Akmal Mohd. Rizal, 23, berkata, bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di luar kampus menjadi sumber kewangannya yang mencecah RM50 sehari.

“Ia cukup bagi menampung kos keperluan harian di kampus yang kian meningkat terutama selepas kenaikan harga barang dan ekonomi negara yang tidak stabil.

“Walaupun terkesan dengan peningkatan kos sara hidup di kampus, sebahagian mahasiswa masih mampu mencari jalan keluar dengan bekerja sambilan.

“Semakin ramai kita lihat pelajar yang bekerja sambilan demi menampung kehidupan di kampus termasuk menjadi penghantar makanan,” katanya.

Selain itu, katanya, jumlah bantuan pelajaran yang diterima juga tidak dapat menampung pembelanjaan selama empat bulan dalam satu semester.

“Kerajaan mungkin boleh fikirkan semula bantuan pelajaran yang diterima dengan peningkatan kos sara hidup pelajar di kampus, adakah sesuai dan cukup untuk mahasiswa kini.

“Selain makan dan minum, yuran, kerja kursus juga memerlukan pembelanjaan yang tinggi terutama kepada pelajar tahun akhir,” katanya

Bagi mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan USM, Nor Adibah Md. Saad, 23, dia memilih untuk bekerja sambilan di pasar raya bagi menampung kekurangan wang bagi membeli makanan dan kelengkapan lain di kampus.

“Melalui pekerjaan sambilan ini, saya boleh dapat RM1,200 dalam sebulan jika saya bekerja cukup 120 jam.

“Bantuan pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima pada awal semester juga tidak cukup menampung perbelanjaan makan kerana kadar yuran dan kos sara hidup yang tinggi.

“Tidak dinafikan ada juga cabaran yang dihadapi membuat kerja sambilan ini kerana perlu membahagi masa dengan jadual kelas serta ujian mengejut yang diadakan oleh pensyarah,” katanya.

Katanya, kadangkala ada waktu dia seperti mahu berhenti bekerja tetapi memikirkan kos perbelanjaan yang tinggi dan tidak mahu menyusahkan ahli keluarga, niat mahu berhenti pun terus hilang.

“Saya bekerja bukanlah untuk bermewah di universiti tetapi demi menampung kehidupan disini.

“Majikan di tempat kerja sangat bertoleransi sebab faham kehidupan pelajar yang sangat sibuk jadi mudah untuk bahagikan masa jika ada kelas ganti atau ujian mengejut,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan USM, Hanisah Shaari, 24, berkata, dia bekerja di kafe kampus untuk mengumpul wang sebagai simpanan masa hadapan selepas tamat pengajian serta menampung perbelanjaan di kampus

“Saya bekerja di kafe kampus pada waktu yang tiada kelas dari waktu petang hingga malam, gaji antara RM40 ke RM45 sehari.

“Bekerja sambilan ini juga satu cara supaya saya tidak bazirkan masa lapang dengan hanya duduk di dalam bilik, sekurang-kurangnya bekerja boleh menambah wang belanja dan meringankan beban ibu bapa di kampung,” katanya.

MOHD. Shaza Murshrif Azman (kanan) melakukan pekerjaan sebagai
jurufoto sambilan bagi mencari pendapatan tambahan.

Dalam pada itu, mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Shaza Murshrif Azman, 27, pula memilih jurufoto sebagai kerja sambilan kerana waktu yang fleksibel.

“Saya bekerja untuk mencari wang tambahan dan mengaplikasikan apa yang dipelajari di universiti ke dalam dunia pekerjaan.

“Saya boleh mendapat kira-kira RM1,500 sebulan dengan melakukan kerja itu dan jika waktu konvokesyen akan peroleh lebih daripada itu,” katanya.

Tambahnya, dia mula menjadi jurufoto dengan menggunakan kamera yang dipinjam, kemudian duit yang diterima selama menjadi jurufoto itu dikumpul dan akhirnya berjaya membeli kameranya sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×