PETALING JAYA: Dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun menjadi penentu kemenangan parti dan calon yang bertanding dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua bulan lagi.
Jumlah itu membabitkan hampir separuh daripada lebih 9.6 juta keseluruhan pengundi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu sekali gus mendominasi bilangan pemilih yang menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri dalam pilihan raya tersebut.
Berdasarkan rekod pemilih Induk Ogos 2020 iaitu data sama diguna ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, Selangor merupakan negeri teramai pengundi muda iaitu 1.8 juta dan diikuti Kedah (811,207), Kelantan (777,263), Pulau Pinang (539,769), Terengganu (523,833) dan Negeri Sembilan (423,423).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, semua parti perlu memberi lebih perhatian kepada pengundi muda apabila kehadiran 10.6 pengundi muda pada PRU15 telah mengubah landskap politik Malaysia termasuk belia 18 tahun apabila kecenderungan mereka amat sukar dijangka sebelum hari pengundian.
Beliau berpandangan, keadaan itu amat membimbangkan apabila terdapat dalam kalangan mereka mengundi berdasarkan trend dan bukannya atas kesedaran berpolitik.
Katanya, kecenderungan kelompok itu boleh berubah pada bila-bila masa dan ia boleh berlaku ketika mereka sedang memangkah kertas undi.
“Jika ada kesedaran sekali pun, mungkin ada sebilangan kecil iaitu yang pernah terlibat dalam politik dan pengaruh keluarga, tetapi hakikatnya ramai pengundi muda keluar mengundi kerana terikut dengan trend semasa dan ajakan kawan-kawan.
“Oleh itu, perkara tersebut perlu ditangani menerusi literasi, kefahaman dan advokasi oleh semua pihak untuk mencorakkan minda pengundi agar mereka mengundi berdasarkan kesedaran dan bukannya semata-mata kerana trend,” katanya.
Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu bakal berdepan PRN setelah hayat semua Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berakhir pada Jun ini dan mereka perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
Keadaan itu menyaksikan pilihan raya negeri dijangka diadakan pada bulan Julai atau Ogos dengan tarikh pengundian bakal ditentukan SPR.
Bagaimanapun Mujibu menambah, gelombang anak muda ketika pilihan raya baru-baru ini tidak boleh dijadikan ukuran dalam enam PRN kerana banyak faktor yang mempengaruhi kecenderungan mereka untuk keluar mengundi kelak.
Beliau menjelaskan, keterujaan 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun pada enam bulan sebelum ini boleh berubah memandangkan mereka masih melihat PRN hanya bersifat negeri dan tidak boleh mencorakkan politik nasional.
Justeru itu, beliau berpandangan enam PRN akan datang bakal mengulangi PRN Melaka dan Johor yang menyaksikan peratusan keluar mengundi menjadi rendah sekali gus memberi peluang kepada salah satu parti yang memiliki kekuatan akar umbi untuk meraih kemenangan.
“Apatah lagi, mereka sudah melihat pertukaran kerajaan selepas PRU15 tidak memberikan sebarang kesan kepada negara, justeru orang muda sudah muak dengan politik dan mereka merasakan tidak perlu mengundi PRN,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR wajar mempertimbang satu mekanisme baharu bagi memudahkan para pengundi di perantauan tidak perlu lagi pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada enam PRN tidak lama lagi.
Katanya, seperti PRU15 sebelum ini, jutaan pengundi terpaksa mengeluarkan belanja demi membeli tiket penerbangan dan bas serta menampung kos minyak kereta di samping menempuh perjalanan yang panjang.
“Bayangkan bagi pelajar di Sabah atau Sarawak, mereka terpaksa beli tiket penerbangan untuk balik bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apatah lagi pengundi kali pertama. Kos tambang bukan murah, ia menelan belanja ratusan ringgit untuk pergi dan balik.
“Tindakan ini sekali gus menimbulkan amalan ‘sedekah’ oleh calon dan parti dengan kononnya bagi derma wang tambang kepada pengundi untuk pulang mengundi sedangkan perkara ini salah di sisi undang-undang pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










