Kerjasama PH, BN bukti politik matang - DAP Johor

Kerjasama PH, BN bukti politik matang – DAP Johor

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah atas kematangan politik kedua-dua pihak.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sekali gus menyanggah cakap-cakap politik bahawa kerjasama PH dan BN hanyalah semata-mata mengelakkan Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir negara.

Menurut beliau, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sokongan Pas hanya akan menyebabkan Malaysia terus dirundung malang.

“Setahun selepas Setiausaha Agung DAP baharu, Anthony Loke Siew Fook menerajui parti, jelas beliau bukan sahaja pemimpin strategik tetapi juga pelaksana idea. 

“Beliau sedar jalan memastikan sebuah kerajaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hanya boleh ditubuh jika DAP bersama PH sanggup bergabung dengan UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pengalamannya berdepan semua pihak dalam politik telah memudahkan Anthony Loke menangani cabaran membentuk sebuah kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut memberitahu, keputusan Anthony Loke dibuat dalam keadaan sedar realiti melibatkan persaingan dan permusuhan di antara DAP dan UMNO serta GPS sebelum ini.

“Namun, beliau juga sedar bahawa negara berada di persimpangan. Jika kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim gagal dibentuk, ini bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sokongan Pas akan kembali memerintah.

“Dengan pemikiran strategik dan kesanggupan merendah diri, Anthony Loke memimpin DAP untuk memberi sokongan kepada usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

“Di sini, Johor mempunyai peranan penting memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan. Jika dicampur kesemua kerusi Parlimen PH dan BN di Johor, jumlahnya adalah 24 daripada kesemua 26 kerusi,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, bukan mudah untuk DAP, PH dan juga UMNO menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan namun semua pihak mempunyai matlamat bersama.

“Kita perlu ingat bahawa Kerajaan Perpaduan tidak ditubuhkan semata-mata kerana kita tidak mahu PN menjadi kerajaan, sebaliknya ia ditubuhkan kerana kita tahu bahawa PH yang semakin menyerlah prestasinya sepanjang PRU 2008, 2013, 2018 dan 2022 telah menjadi kuasa penentu politik yang penting. Kita adalah satu formidable political force.

“Dengan itu, UMNO yang sejak 2008 cuba menyingkirkan PH daripada politik negara telah sedar dan menerima hakikat bahawa kerjasama serta menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah lebih baik daripada terus bermusuhan.

“Kerajaan Perpaduan juga berperanan menyatukan musuh politik lama dalam sebuah kerajaan yang stabil untuk jangka masa panjang kerana kita perlu berganding bahu mengembalikan semula kegemilangan Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×