Pendapatan ikut belanja isi rumah

Pendapatan ikut belanja isi rumah

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini tidak lagi dilihat mengikut tiga kumpulan pendapatan iaitu B40, M40 dan T20 tetapi akan dinilai kepada pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu antara beberapa langkah penstrukturan ekonomi akan dibuat tidak lama lagi apabila Pangkalan Data Utama (Padu) beroperasi seawal-awalnya Januari tahun depan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, segala maklumat perihal corak dan trend semasa perbelanjaan bersih isi rumah akan menentukan pendekatan kerajaan dalam isu subsidi.

“Sebelum ini ramai tidak puas hati apabila misalnya T20 atau M40 boleh isi petrol RON 95, namun kita mungkin tidak tahu dia ada tanggungan ramai dan komitmen hutangnya besar.

“Justeru, saya jangka pelaksanaan Padu mulai awal tahun depan membolehkan kerajaan membina program dan skim inisiatif subsidi yang lebih adil,” katanya pada sidang akhbar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu mengumumkan kerajaan membangunkan Padu bagi mengumpul data sosio ekonomi setiap rakyat lebih bersepadu.

Ia diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN dengan segala maklumat lengkap meliputi perbelanjaan isi rumah itu diperoleh daripada pelbagai agensi pusat dan ne­geri.

Ketika ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mentakrifkan individu mengikut jenis klasifikasi pendapatan kasar dengan B40 ialah mereka bergaji bulanan kurang RM4,850. Sementara M40 pula untuk mereka yang berpendapatan menengah sehingga RM10,970 manakala kelompok kaya atau T20 merujuk individu ada pendapatan lebih daripada itu.

Mengulas lanjut, Rafizi ber­kata, pengelasan mengikut gaji dipertikaikan banyak pihak kerana ia tidak menggambarkan secara adil gaya kehidupan seseorang yang tidak tetap.

“Sehubungan itu, kerajaan akan beralih dasar sosio ekonomi yang tidak lagi berasaskan amaun pendapatan dan data Padu bakal menentukan polisi subsidi lebih jelas,” katanya.

Dalam nada optimis, beliau berkata, sistem maklumat bersepadu itu akan menentukan hala tuju adil penstrukturan subsidi sektor tenaga serta bahan bakar diesel dan RON 95.

Malah ujarnya, jika kedudukan fiskal negara pada masa depan lebih baik, mekanisme subsidi juga boleh dikemas kini dan mudah diputuskan bagi melindungi keperluan rakyat.

Beliau memberi contoh kegagalan kerajaan terdahulu me­laksanakan subsidi petrol yang lebih fokus kerana tiada data lengkap dan sistem sesuai bagi membantu kumpulan sasar.

Oleh itu, MTEN memutuskan agar projek Padu dipercepatkan untuk membolehkan segala maklumat perbelanjaan bersih isi rumah dijadikan rujukan masa sebenar pihak kerajaan.

Pada masa sama, Rafizi memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan tempoh masa sesuai bagi memantau corak penggunaan oleh kumpulan sasar yang menerima subsidi.

“Ada lebih 200 pangkalan data mengenai butiran rakyat kita disimpan oleh pelbagai agensi termasuk badan zakat yang jadi rujukan semak silang pendapatan isi rumah,” katanya  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini