Persekitaran ekonomi di AS dorong kejatuhan ringgit

Persekitaran ekonomi di AS dorong kejatuhan ringgit

PRESTASI ringgit turun naik didorong oleh persekitaran global terutama ekonomi Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekitaran ekonomi yang tidak menentu di Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan dolar negara itu mendorong kepada kedudukan ringgit yang semakin lemah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini terbukti apabila banyak mata wang asing turut merudum disebabkan kekuatan dolar AS dan bukan hanya ringgit yang terkesan.

Katanya, jika dibandingkan jurang ringgit dengan mata wang lain, ada situasi yang mana ringgit merapatkan jurang dengan mata wang asing tertentu.

“Senario ini berlaku disebabkan faktor permintaan terhadap ringgit dan juga mata wang asing tersebut. Kayu pengukur utama kepada ringgit masih lagi pergerakan dolar AS.

“Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal dasar monetari manakala kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengawal dasar fiskal. Ringgit boleh dipe­ngaruhi oleh kedua-dua polisi ini,” katanya di sini semalam.

Semalam, ringgit didagangkan pada 4.5450/5370 daripada kelmarin 4.5255/5375 berbanding dolar.

Beliau berkata, kerajaan boleh menggalakkan lebih banyak eks­port dan mengurangkan kebergantungan kepada import, selain memperkasakan industri domestik.

Sementara itu, beliau berkata, BNM boleh mengawal kadar fa­edah supaya pelabur tertarik untuk melabur di negara ini, dan pada masa yang sama menggalakkan perkembangan aktiviti perniagaan di dalam negara.

“Jika negara masih terlalu bergantung kepada import makanan, ringgit yang lemah akan menyebabkan harga import makanan menjadi tinggi, sekaligus mening­katkan kadar inflasi makanan di negara kita dan menyum­bang kepada kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, kejatuhan ringgit didorong oleh langkah Ri­zab Persekutuan (Fed) AS yang menaikkan kadar faedah dalam usaha agresif untuk mengekang inflasi.

Menurutnya, kadar faedah yang tinggi telah meningkatkan permintaan untuk dolar daripada pelabur antarabangsa yang mencari keuntungan.

“Seiringan dengan itu, banyak pelabur telah menarik portfolio pelaburan dari pasaran luar dan membawa masuk ke AS memandangkan kadar yang lebih tinggi di A.S. Aliran modal antarabangsa ke AS sekaligus menyumbang kepada peningkatan dolar.

“Selain itu, dolar AS juga menjadi mata wang rizab dunia dan pelabur melihatnya sebagai tempat selamat semasa tempoh ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi terutamanya akibat kemelesetan ekonomi global, perang di Ukraine, serta kegagalan bank baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini