REALITI kemajmukan kaum, agama, budaya dan bahasa di negara ini turut terserlah dalam karya sastera dan fiksyen yang dihasilkan dalam bermacam-macam bahasa oleh penulis pelbagai kaum sejak dahulu.
Sejak diasaskan pada 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa cuba menjalin hubungan dan interaksi antara pelbagai kelompok penulis. Usaha ini dipergiat mulai 2015 dengan kerjasama Pusat Kebudayaan India (ICC) di bawah Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.
Sekurang-kurangnya empat acara pertemuan penulis pelbagai kaum sempat dianjurkan di Dewan ICC, di Brickfields, ibu negara sebelum pandemik Covid-19 menular. Selepas itu, sesi pertemuan dan bengkel penulisan dijalankan secara maya.
Usaha menganjurkan semula sesi pertemuan secara bersemuka diaktifkan semula menerusi sesi kecil-kecilan pada 14 Mei lalu dan disertai 14 sukarelawan pelbagai kaum yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan, Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Sejak awal, para peserta majlis Pertemuan Penulis dan Pembaca Malaysia amat teruja kerana dapat bertemu semula secara bersemuka untuk berbual dan berbincang dengan rakan-rakan penulis pelbagai kaum yang terlibat dalam bidang penulisan berbeza-beza.
Vijayaletchumy Vellasamy dari Banting, Selangor yang sudah lama tidak menulis, kini kembali bersemangat, lalu tidak melepaskan peluang menyertai sesi pertemuan pada kali ini.
Acara diserikan dengan para penulis membacakan petikan karya masing- masing. Perbezaan bahasa tidak menjadi masalah, sebaliknya menjadi sesuatu yang diraikan dan dinikmati para peserta.
Daphne Lee sering menulis karya Inggeris dengan mengangkat tema mitos, legenda dan unsur ghaib dalam budaya masyarakat Malaysia. Beliau mengakui memang banyak membaca buku bahasa kebangsaan tetapi belum cukup yakin untuk menulis karya dalam bahasa itu. Pertemuan ini memberikan semangat kepadanya untuk mencuba dengan sedikit bimbingan rakan-rakan lain.
Koh Yok Hwa, seorang penerbit buku yang akhirnya menjadi penulis selepas menyertai sesi bengkel anjuran Kavyan. Malah, kini beliau sering menyumbangkan rencana berkaitan politik, ekonomi dan budaya kaum Cina di akhbar Utusan Malaysia dalam usaha memupuk persefahaman antara kaum.
Thanusya Shanmuganathan sudah menghasilkan empat novel menggunakan nama pena Meera Natasya. Beliau berkongsi maklumat mengenai Koperasi Penulis Nasional (Kopena) yang berusaha memperkasakan penulis dari segi penulisan dan kestabilan ekonomi.
Cheryl Lim mengaku masih dalam proses belajar menulis dengan mengikuti bengkel penulisan anjuran Sharon Bakar. Beliau menyentuh tentang minat membaca sejak usia kanak-kanak. Aspek ini sama dengan pengalaman para penulis lain. Maka, minat membaca sejak kecil amat penting dan perlu dipupuk secara berterusan.
PBB
Sebagai seorang penulis dan guru, Malini Lakshmi Bai berusaha menghasilkan karya bermutu yang boleh membantu memupuk minat membaca generasi muda. Memandangkan budaya membaca masih rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia, maka usaha kecil-kecilan seperti ini tetap penting dilakukan secara berterusan.
Seorang lagi guru dengan pendirian sama ialah Anuradha Chelliah. Beliau gemar menghasilkan cerpen dan puisi yang dapat merakamkan hal-hal yang mungkin dianggap kecil tetapi sebenarnya sangat bermakna dalam hidup manusia.
Anuradha turut berkongsi tentang program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya yang dilaksanakan oleh Kavyan di seluruh negara sejak 1999 untuk memupuk budaya membaca serta mencungkil bakat penulisan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Jaymee Goh merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis Malaysia dan editor sebuah penerbitan di San Francisco, Amerika Syarikat. Beliau mengakui hakikat, rata-rata ahli persatuan yang diwakilinya menulis karya bahasa Inggeris. Jaymee berharap sesi pertemuan seperti ini akan membantu lebih merapatkan hubungan antara penulis pelbagai kaum yang menulis karya pelbagai bahasa.
Mannar Mannan merupakan bekas Presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia dan kini dilantik sebagai penasihat. Beliau menceritakan bagaimana persatuan itu yang kini berusia 61 tahun melakukan pelbagai aktiviti untuk mengangkat martabat karya sastera Tamil tempatan sehingga mendapat pujian dan pengiktirafan kerajaan Tamil Nadu, India.
Persatuan itu yang kini ada 250 ahli seumur hidup dan 50 ahli biasa turut menganjurkan pelbagai pertandingan menulis dan menerbitkan antologi cerpen Tamil secara tahunan. Mannar Mannan mengakui betapa perlu usaha terjemahan silang antara karya pelbagai bahasa di Malaysia dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Ann Lee pula berkongsi maklumat mengenai PEN Malaysia iaitu persatuan penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa yang mendapat sokongan daripada PEN International, sebuah pertubuhan antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain mempromosi bidang penulisan, ia juga memperjuangkan hak dan kebebasan bersuara menerusi karya seni dan sastera.
Pragalath Kumar, seorang wartawan, mengingatkan betapa kebanyakan persatuan penulis yang menyertai sesi pertemuan ini sebenarnya memiliki banyak persamaan. Hakikat ini disedari semua hadirin termasuk Priya K yang mengaku masih baharu dalam bidang penulisan.
Menurut Weng Poh Leng, sekiranya diperhatikan, para penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya pelbagai bahasa serta mewakili persatuan berbeza, sebenarnya memiliki semangat dan impian sama.
Sesungguhnya, masing-masing mahu membantu memperkaya khazanah penulisan tanah air. Walaupun kerajaan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya memberi pengiktirafan dan hadiah kepada karya Melayu, hakikat ini tidak sedikit pun melemahkan semangat para penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa untuk terus komited memberi sumbangan ikhlas kepada negara.
Sebagai susulan kepada sesi pertemuan ini, Pusat Kebudayaan India bersetuju menganjurkan Hari Keluarga Penulis Malaysia pada 1 Julai nanti. Ahli keluarga dan rakan-rakan kepada para penulis juga dijemput hadir supaya silaturahim yang lebih erat dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum demi meraikan kepelbagaian dan memupuk perpaduan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











