Subsidi bersasar bantu kekalkan pertumbuhan ekonomi

Subsidi bersasar bantu kekalkan pertumbuhan ekonomi

ABDUL Razak Abdul Majid (tengah), Baharin Din (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman melihat Buku Laporan Tahunan TNB di Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33, di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong pemberian subsidi bersasar bagi membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan meringankan tekanan kos ke atas golongan berpendapatan rendah, kata Pengerusinya, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Beliau berkata, TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus tarif mengikut mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), sambil mengimbangi perlunya tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin, TNB memahami keperluan membantu rakyat berpendapatan rendah untuk menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

“Pada masa yang sama, kami meneruskan usaha berkongsi kemakmuran dengan masyarakat menerusi inisiatif pendidikan dan sosio-ekonomi yang berkesan,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-33, semalam.

Kerajaan pada penghujung 2022 telah mengumumkan pelaksanaan skim subsidi elektrik bersasar untuk pengguna domestik, yang terus menikmati rebat tarif ke atas bil elektrik serta tidak menaikkan surcaj untuk kumpulan perniagaan kecil dan industri terpilih.

Abdul Razak berkata, TNB kekal teguh dengan komitmennya memenuhi keperluan tenaga pelanggan industri, komersial dan kediaman di tengah-tengah harga bahan api yang tinggi sejak 2022 dan pemulihan memberangsangkan ekonomi Malaysia.

Kata beliau, pelaburan besar TNB untuk mempelbagaikan sumber tenaga serta mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (TBB) selama ini, membolehkan syarikat terus menyediakan tenaga berdaya harap dan mampan.

Usaha ini diiktiraf oleh pelanggan melalui prestasi konsisten selama dua tahun berturut-turut dalam skor Indeks Kepuasan Pelanggan kami dengan 87 peratus pada tahun 2022,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula berkata, pada kemuncak krisis tenaga global tahun lalu, harga arang batu dan gas mencapai paras tertinggi dengan peningkatan masing-masing sebanyak 83 peratus dan 11 peratus dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, Malaysia turut tidak terlepas daripada kenaikan harga bahan api, yang memberi kesan besar kepada kos penjanaan elektrik.

Jelasnya, walaupun krisis tenaga telah memberi kesan kepada kos sistem tenaga negara sejak dua tahun lalu, ia telah mengukuhkan tekad TNB untuk mempercepatkan pelaksanaan menuju campuran sumber penjanaan lebih bersih menjelang 2050.

“Ini bermakna TNB mengalihkan pergantungannya yang tinggi terhadap sumber bahan api fosil bagi penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, dengan kos bahan api menyumbang lebih daripada 70 peratus kepada kos penjanaan.

“Walaupun begitu, kami terus memenuhi kewajipan dengan menyediakan bekalan tenaga berdaya harap, terjamin dan berpatutan kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×