Tenggelam lebih awal jika tiada pelan mitigasi

Tenggelam lebih awal jika tiada pelan mitigasi

WALAUPUN ketulan batu diletakkan di pantai Kampung Mengabang Telipot di Kuala Nerus, Terengganu, hakisan terus berlaku dan semakin menghampiri rumah penduduk. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan beberapa bandar di Malaysia bakal tenggelam pada 2050 dan sebahagiannya menjadi pulau ekoran kenaikan paras air laut mungkin berlaku lebih awal berbanding ramalan 30 tahun.

Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, suhu lautan global sepanjang 2022 berada pada tahap paling panas pernah direkodkan.

Menurut beliau, hasil penyelidikan saintifik mendapati lebih daripada 90 peratus lebihan haba yang terperangkap oleh pelepasan gas rumah hijau diserap di lautan sehingga menjadikan air menjadi lebih panas lalu menaikkan paras laut dan membahayakan bandar-bandar di tepi pantai.

“Maka, tidak mustahil tempoh tersebut berlaku dengan lebih pantas iaitu kurang 30 tahun berbanding diramal akibat faktor itu, apatah lagi jika tiada langkah mitigasi dilaksanakan.

“Sebilangan negara sudah melihat paras laut di kawasan pesisiran mereka naik tiga kali ganda daripada kadar kenaikan purata.

“Di Malaysia misalnya, kesan dan impak kenaikan aras laut ini dapat dibuktikan dengan kejadian banjir pantai yang semakin ekstrem, paras air di jeti dan pelabuhan semakin tinggi, selain kejadian hakisan tebing pantai dan kerosakan struktur pantai seperti ban pantai runtuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan, beberapa bandar di negara ini bakal hilang berikutan kenaikan paras laut menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.

Antara faktor utama mengakibatkan kenaikan paras laut adalah pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan faktor paling mendominasi ialah pengembangan haba lautan.

Berdasarkan kajian terbaharu oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to Sea – Level Rise and Coastal Flooding yang diperoleh Utusan Malaysia, antara negeri yang bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Malah melalui laporan sama mendapati populasi Asia paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus di peringkat global.

Mengulas lanjut, Haliza berkata, ramalan tersebut amat penting dan perlu dipandang serius untuk membantu semua pihak beradaptasi dengan cabaran yang bakal wujud disebabkan kenaikan paras air laut.

“Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) risiko kenaikan aras laut adalah besar terutamanya bagi 900 juta penduduk yang tinggal di zon pantai kawasan rendah, dianggarkan satu daripada 10 orang di bumi akan menerima impaknya.

“Umumnya, 10 peratus penduduk dunia atau 770 juta orang, hidup di kawasan daratan yang kurang dari lima meter di atas permukaan air pasang. Selain itu, 14 daripada 17 bandar raya terbesar di dunia terletak di pesisiran pantai. Mereka yang mendiami kawasan-kawasan ini akan menerima kesan langsung.

“Negara kita juga akan terancam. Dianggarkan menjelang 2100, jumlah penduduk Malaysia yang terjejas akibat kenaikan aras laut adalah kira-kira 1.5 juta orang, termasuklah di Sabah dan Sarawak. Maka, perancangan di negara kita perlu mengambil kira peningkatan ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, Malaysia perlu mengambil langkah segera bagi menyesuaikan dan menangani kesan kenaikan paras laut yang juga merupakan keperluan mendesak seperti melakukan perlindungan kawasan persisiran, menambah tanah serta membina prasarana yang dapat bertahan dalam menghadapi isu tersebut.

“Singapura boleh dijadikan sebagai model dalam melindungi negara tersebut daripada ancaman fenomena paras air laut yang semakin meningkat. Perdana Menteri mereka pada 2019 mengumumkan pelaburan S$100 bilion sebagai huraian jangka panjang termasuk membina tembok dan benteng selain ‘polder’ iaitu cara penambakan baru di kawasan pantai East Coast.

“Projek Greater Southern Waterfront (GSW) seluas 2,000 hektar pula dibangunkan antara lain dengan tujuan melindungi kawasan bandar daripada banjir. Bangunan-bangunan baru pula perlu dibina sekurang-

kurangnya empat meter lebih tinggi dari aras laut manakala bagi prasarana penting, sekurang-kurangnya lima meter lebih tinggi.
“Selain itu, dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir ditubuhkan dengan suntikan awal S$5 bilion. Pemerintah turut membelanjakan S$400 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara terusan dan longkang, di samping membelanjakan sebanyak S$1.8 bilion sejak 2011 bagi menangani masalah banjir,” katanya.

Melalui laporan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pada 2019, paras air laut diunjurkan menaik secara bertingkat-tingkat pada 2020 hingga 2100 iaitu akan mencapai sehingga 0.495 meter.

NORAZIAN MOHAMED NOOR

Kenaikan paras air laut boleh jejas jelapang padi negara

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor pula berkata, yang membimbangkan, kebanyakan terlibat khususnya di Kedah dan Perak merupakan kawasan pertanian membabitkan tanaman padi yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini.

“Masalah itu kebanyakannya disebabkan oleh pemanasan global hasil daripada pengumpulan gas rumah hijau di atmosfera, terutamanya termasuk karbon dioksida (CO2), metana (CH4), dan nitrus oksida (N2O), mempunyai keupayaan untuk menyerap sinaran inframerah, yang dipancarkan dari permukaan bumi.

“Kesan jangka panjang pemanasan global mengakibatkan perubahan iklim seperti yang dialami oleh dunia kini. Kesan utama termasuk peningkatan suhu dunia yang akan mengakibatkan pencairan glasier di kutub dan menyebabkan peningkatan paras air laut,” katanya.

Beliau berkata, masalah perubahan iklim adalah isu global yang memerlukan dunia bersatu sebagaimana penyatuan membanteras penipisan ozon melalui Protokol Kyoto pada tahun 1997.

Katanya, perubahan iklim juga hanya mampu ditangani dengan kesepakatan global dengan membuat perubahan ketara kepada dasar, peraturan, dan amalan perniagaan sedia ada.

Jelasnya, menyedari kesan-kesan negatif perubahan iklim kepada sejagat, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2015 juga telah menganjurkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) sebagai sebahagian daripada agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

“SDGs ialah satu set 17 matlamat global yang ditubuhkan PBB sebagai usaha global untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia, termasuk pencemaran udara dan perubahan iklim. Dua daripada matlamat ini, iaitu matlamat 13 (tindakan iklim) dan matlamat 11 (bandar dan komuniti lestari) yang tertumpu terutamanya pada soal menangani isu pencemaran udara dan perubahan iklim.

“Kebanyakan negara di seluruh dunia telah bersetuju dan bersama-sama berusaha ke arah menjayakan matlamat-matlamat SDGs. Walau bagaimanapun, untuk mencapai matlamat ini memerlukan kemahuan politik yang kuat dan tindakan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan lain.

“Malangnya, kekurangan kemahuan politik dan tindakan kekal sebagai cabaran penting untuk mencapai SDGs ini. Satu cabaran utama ialah pemikiran jangka pendek dan membuat keputusan yang sering mendominasi politik,” katanya.

20 pulau bakal hilang

Sementara itu, kira-kira 20 pulau di Malaysia dijangka tenggelam pada 2030 berpunca faktor pemanasan global dan cuaca ekstrem sehingga menyebabkan paras laut naik setiap tahun.

Kajian Climate Central iaitu ‘Kawasan Tanah Dijangka Bawah Paras Banjir pada 2030’ atau tenggelam sedikit demi sedikit melibatkan Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Klang, Pulau Carey, Pulau Besar, Pulau Pisang, Pulau Kukup, Pulau Tinggi, Pulau Besar dan Pulau Rawa.

Selain itu, Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Perhentian, Pulau Bum-Bum, Pulau Timbul Mata, Pulau Banggi, Pulau Manukan, Pulau Gaya dan Pulau Sebatik.

Malah analisis badan bebas tersebut turut menamakan bandar utama seperti Kangar, Alor Setar, Pulau Pinang, Sitiawan, Bandar Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuantan, Tumpat dan Labuan serta Lembah Klang juga sedang terkesan dengan isu pemanasan global.

Lebih mengejutkan, Climate Central meramalkan, bandar raya Shah Alam dan Subang bakal mempunyai kawasan pantai.

Jika semua punca kepada kenaikan paras laut tidak mampu ditangani maka peta Malaysia akan berubah kerana banyak tempat `hilang’.

Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, ramai saintis sudah menjangkakan berlaku kenaikan paras air laut akibat pemanasan global yang berpunca akibat pelepasan karbon dioksida.

Jelasnya, kawasan rendah khususnya pesisir pantai berisiko besar ditenggelami air khususnya melibatkan lokasi kepulauan yang dikelilingi laut.

Menurut beliau, perkara itu sedang dirasai dengan kenaikan paras laut berlaku sebanyak 3.2 milimeter setiap tahun dan keadaan itu berkemungkinan bertambah buruk dalam tempoh 100 tahun akan datang iaitu peningkatan kepada 32 sentimeter setiap tahun.

“Ada dua punca perkara ini berlaku iaitu perubahan suhu dan paling ketara pencairan glasier Greenland akibat perubahan iklim. Malah hakisan pantai akibat faktor angin yang bukan disebabkan pemanasan global juga mendorong masalah alam ini berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Azizan mencadangkan kerajaan mewujudkan langkah mitigasi untuk berhadapan peningkatan paras air laut termasuk melakukan pembangunan terancang termasuk pembinaan di kawasan tinggi bagi mengelakkan bangunan ditenggelami air.

“Perkara itu termasuk membina hospital dan sekolah di kawasan tinggi dan bukannya berhampiran kawasan pesisir pantai serta berisiko dinaiki air. Malah kita perlu membantu mengurangkan pelepasan asap yang merupakan punca utama kepada masalah pemanasan global seperti berlaku ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rakan Alam Malaysia, Zikrullah Ismail berkata, semua masalah tersebut berpunca daripada sikap rakyat termasuk kerajaan yang mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar sehingga menyebabkan berlaku pemanasan global.

Menurut beliau, akibat mahu mengaut keuntungan, masing-masing sanggup melakukan pembangunan tidak terancang sehingga gagal memikirkan kesan kepada kelestarian alam sekitar.

“Semua pakar sudah berbuih mulut memberikan komen dan pandangan terhadap masalah pemanasan global, tetapi malangnya pembuat dan pelaksana dasar iaitu kerajaan gagal ambil peduli segala teguran ini.

“Jangan sampai sudah berlaku bencana alam, barulah kita hendak sedar. Pada waktu itu, kesal kemudian sudah tidak lagi berguna,” tegasnya.

 

Nurhisham Hussein

KWSP ambil kira ramalan bandar tenggelam

Dalam perkembangan sama, ramalan ada ban­dar dan kawasan di negara ini yang diancam peningka­tan paras air laut sehingga tenggelam akibat pemanasan glo­bal dan cuaca ekstrem turut diambil kira Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam merancang strategi pelaburannya.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, isu perubahan iklim memang dijadikan rujukan oleh pihaknya dalam aspek risiko pelaburan kerana ada syarikat dan anak syarikat kumpulan itu mempunyai aset-aset di tempat yang berisiko.

“Saya sendiri memantau laman-laman web badan antarabangsa yang membuat ramalan ada kawasan di negara kita akan ditenggelami air laut termasuk di Selangor. Tempoh paling dekat adalah tujuh tahun dari sekarang menjelang 2030,” katanya ketika temu bual eksklusif dengan Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Nurhisham, berasaskan penelitian yang dilakukan pihaknya, semua pejabat cawangan KWSP di seluruh negara adalah selamat kerana terletak di luar dari kawasan berisiko.

KEADAAN hakisan yang
berlaku di Pantai Bisikan
Bayu, Pasir Puteh, Kelantan.
– UTUSAN/KAMARUL
BISMI KAMARULZAMAN

Pantai Bisikan Bayu musnah disebabkan hakisan

Sementara itu, lebih 10 keluarga di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan khuatir kediaman mereka hanyut ke tengah laut dalam tempoh beberapa tahun akan datang disebabkan hakisan teruk.di pesisiran pantai itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pesisir pantai itu mendapati, banyak ruang dapur penduduk musnah, bahagian belakang kilang keropok roboh dan kafe salah sebuah resort menunggu roboh dalam tempoh terdekat.

Seorang penduduk, Mohd zakaria Shafie, 53, berkata, hakisan berlaku sejak tiga tahun lalu ketika air laut pasang besar yang diikuti hempasan ombak kuat menyebabkan bangunan kediaman musnah.

Menurutnya, air laut pasang besar melimpahkan air laut ke kawasan kediaman tutut membawa batang kayu besar menghempap dinding rumah.

“Ombak besar bersama angin kencang menghakis tanah daratan ke tengah laut.

“Keindahan pantai sebagai pusat peranginan kian cacat apabila ratusan pokok ru, pokok kelapa dan ketapang menyembah bumi sebelum hanyut ke tengah laut,” katanya ketika ditemui di pantai itu..

Penolong Pengurus Dee Wana Resort, Wan Hasniah Wan Husin, 52, berkata, persekitaran hadapan kafe resort berkenaan turut musnah selepas tebing berdekatan terhakis secara berterusan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, antara yang hilang disebabkan hakisan ialah taman rekreasi, pokok hiasan dan menara tinjau.

“Nasib baik binaan hadapan kafe kukuh namun masih berdepan ancaman kemungkinan roboh apabila tanah bawah bangunan kafe terhakis dibawa arus ketika air laut pasang besar,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil oleh pihak yang berkenaan termasuk membina benteng penghadang ombak untuk menyelamatkan premis dan bangunan yang berdekatan.

Katanya, 13 tahun yang lalu kawasan itu kelihatan cantik tetapi sekarang dapat disaksikan beberapa kemusnahan yang merugikan.

Pengusaha kilang keropok, Mohamad Abdullah, 45, berkata, sebahagian bangunan untuk menyimpan bekalan mentah dan tempat memproses keropok telah roboh sejak dua tahun lalu menyebabkan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, kawasan untuk menjemur keropok semakin sempit dan berkemungkinan keseluruhan premis kawasan itu akan roboh jika tiada usaha mengatasinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×