KUCHING: Pemain industri perkayuan di Sarawak berperanan penting dalam mengenengahkan kualiti kayu ke pasaran global.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, industri perkayuan di negeri itu berpotensi untuk dikembangkan dengan memanfaatkan dan menyelaraskan persekitaran perniagaan global.
“Selaras dengan permintaan pengguna untuk produk mesra alam dengan jejak karbon rendah daripada sumber yang mampan dan sah serta disokong oleh pensijilan mampan, penyertaan masyarakat tempatan yang kukuh, inovatif dan berdaya saing dalam penetapan harga.
“Justeru itu, Sarawak kini memberikan fokus kepada ekonomi hijau melalui usaha promosikan ladang hutan, perdagangan karbon, produk mesra alam dengan jejak karbon rendah dan bahan api mesra alam seperti hidrogen, hidro dan pelet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Konfren Antarabangsa Kejuruteraan Kayu 2023, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BBCK) hari ini.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, sebagai pembekal kayu tropika kepada pasaran global, adalah penting untuk memastikan produk kita memenuhi agenda mitigasi perubahan iklim global.
“Selaras dengan usaha itu, ladang hutan telah dibangunkan di Sarawak bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mampan dan boleh diperbaharui mencukupi bagi industri perkayuan.
“Malah beberapa dasar pembangunan industri kayu dan hutan seperti membangun dan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui, melibatkan ekonomi hidrogen, penyerapan karbon, penangkapan dan perdagangan karbon, ladang hutan, serta ekonomi digital juga ditekankan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” ujar Abang Johari.
Tambahnya, Sarawak turut meminda Kanun Tanah dan Ordinan Hutan bagi mengawal selia dan memudahkan penangkapan karbon, penyerapan dan perdagangan di Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mendedahkan, Sarawak mempunyai rancangan untuk bina pusat penyelidikan dan pembangunan R&D industri perkayuan.
“Usaha meningkatkan nilai sumber kayu adalah selari dengan sasaran yang ditetapkan bagi industri perkayuan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS2030) untuk menjana pendapatan eksport tahunan sejumlah RM8 bilion sekaligus menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Ini kerana, rancangan untuk membangunkan industri perkayuan dengan nilai tinggi perlu diberikan tumpuan kepada industri perkayuan kejuruteraan, perabot dan produk berasaskan buluh kerana ketersediaan bahan yang sesuai daripada hutan yang ditanam dan selaras dengan trend global untuk menggunakan lebih banyak kayu kejuruteraan dalam industri bangunan dan pembinaan,” dedahnya.
Kayu kejuruteraan berpotensi untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan menggantikan simen dan keluli dalam pembinaan bangunan.
Pada masa sama, beliau yakin bahan binaan industri perkayuan adalah mampan dan hijau kerana ia boleh menyimpan karbon dan mempunyai jejak karbon yang lebih rendah, selaras dengan agenda global semasa untuk menangani perubahan iklim dan mempromosikan produk hijau untuk mencapai kelestarian alam sekitar.
Justeru, beliau mempelawa pelabur dan pemain industri untuk meneroka potensi industri kejuruteraan kayu di Sarawak, dan yakin ia merupakan peluang baharu bagi pemegang Lesen Perladangan Hutan (LPF) di negeri itu untuk menghasilkan bahan yang sesuai dan mampan khusus buat industri tersebut. – UTUSAN










