GEORGE TOWN: Kawasan di sepanjang pesisir pantai awam berhampiran sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi di sini semakin diancam hakisan akibat ombak kuat sehingga mengubah landskap pantai itu.
Difahamkan masalah hakisan pantai di pesisir pantai awam di Batu Ferringhi telah berlaku sejak tahun lalu dan keadaan semakin serius apabila pihak berkuasa meletakkan benteng batu serta beg pasir di kawasan berkenaan untuk mengurangkan hakisan daripada terus berlaku.
Bagaimanapun, beg-beg pasir itu yang diletakkan hujung tahun lalu didakwa tidak dapat bertahan lama sehingga mengakibatkan kawasan pantai yang dahulunya landai kini menjadi bercerun selepas beg-beg pasir runtuh dibadai ombak kuat.
Seorang pengusaha sukan air di pantai berkenaan, Ibrahim Abdul Aziz, 50, berkata, beg-beg pasir itu bukan penyelesaian yang baik untuk menangani masalah hakisan malah pemandangan di pantai itu menjadi buruk.
”Beg pasir ini tidak mampu bertahan lama, ia diletakkan hujung tahun lalu oleh pihak berkuasa, namun tidak sampai sebulan ada yang telah runtuh kerana ombak terlalu kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Batu Ferringhi di sini, semalam.
Menurutnya, dia menjadi pengusaha sukan air di kawasan pantai itu sejak 20 tahun lalu dan masalah hakisan yang berlaku mencacatkan pemandangan indah pantai berkenaan.
”Pelancong pun kurang bersantai di sini selepas pokok-pokok yang menjadi tempat pelancong berteduh turut ditebang,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk setempat, R. James, 40, berkata, penduduk berharap kerajaan negeri akan segera menangani masalah hakisan pantai di kawasan Batu Ferringhi yang semakin serius.
”Masalah hakisan ini mula serius selepas projek tambakan di kawasan persiaran Gurney dan Tanjong Tokong dijalankan.
”Ombak di kawasan Batu Ferringgi ini dahulunya tidak kuat, namun kini keadaan berubah selepas tambakan berlaku, kami percaya corak ombak telah berubah akibat projek tambakan itu sehingga menjejaskan kawasan Batu Ferringhi,” katanya. – UTUSAN










