Northport anjur rumah terbuka bertema ESG

Northport anjur Rumah Terbuka Raya bertema ESG

PENGARAH Urusan Kumpulan MMC Corporation, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Azman Shah Mohd. Yusof pada Rumah Terbuka Hari Raya Northport bertema ESG, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di premis Northport di Pelabuhan Klang.

Hampir 3,000 tetamu termasuk pelanggan, rakan niaga, agensi kerajaan, pemimpin komuniti, kakitangan Northport serta pemegang taruh yang lain, menghadiri majlis tersebut.

Menurut syarikat perkapalan itu, majlis bertemakan “Hijaukan Syawal Anda”, bertujuan memberi penekanan kepada kepentingan amalan Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) dalam aktiviti perniagaan hari ini.

Sepanjang acara tersebut berlangsung katanya, para tetamu telah disajikan dengan pelbagai aktiviti dan pameran bertemakan ESG, termasuk pameran motosikal elektrik, pengurai sisa makanan, peralatan elektrik mesra alam, dan pameran inisiatif ESG Northport.

“Selain itu, penggunaan barangan mesra alam oleh peniaga makanan dan minuman adalah ditekankan oleh Northport dan tong kitar semula diletakkan di sekitar lokasi acara untuk menggalakkan pengurangan sisa dan amalan kitar semula,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata,  Rumah Terbuka Hari Raya “Hijaukan Syawal Anda” 2023 Northport adalah bukti komitmen syarikat terhadap amalan ESG dan tanggungjawab sebagai warga korporat.

“Kami teruja kerana dapat mengenengahkan usaha kami dalam mempromosikan kelestarian dan merayakan kepelbagaian budaya melalui majlis ini,” katanya.

Beliau berharap, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya 2023 itu membawa keceriaan dan inspirasi kepada semua kakitangan dan tetamu yang hadir.

“Kami ingin menyampaikan penghargaan yang ikhlas kepada semua yang telah membantu menjayakan majlis ini. Seiring kita melangkah maju ke hadapan, marilah kita terus bekerjasama untuk masa depan yang mampan buat semua dan semoga sambutan perayaan Hari Raya dan inisiatif ESG ini akan membawa kita lebih dekat sebagai sebuah komuniti,” tambah beliau.

Untuk majlis ini, Northport menetapkan sasaran untuk mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) sifar sisa dengan melaksanakan amalan mampan, termasuk menderma lebihan makanan kepada badan amal dan menggunakan pengurai sisa makanan untuk menukar sisa menjadi kompos.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Northport telah melaksanakan pelbagai inisiatif ESG bagi menzahirkan komitmen syarikat terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial sebagai aspek penting dalam operasi perniagaannya.

Antara inisiatif penting tersebut termasuk penggunaan “Electrified Rubber Tired Gantry” (“E-RTG”) untuk operasi pengendalian kontena, yang telah menjadikan Northport sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan peralatan pengendalian terminal mesra alam tersebut.

Northport juga merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang mewujudkan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) di dalam kawasan terminal bagi menyediakan perkhidmatan tambahan untuk penyelesaian pengurusan sisa pepejal kepada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Selain itu, Northport juga merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang memasang panel solar di atas bumbung gudangnya.

Inisiatif-inisiatif lain termasuk kempen 3R tahunan syarikat bagi meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar di kalangan kakitangan Northport. Program 3R Northport telah berjaya mengumpul lebih daripada 194 tan barangan kitar semula bernilai RM67,877.00 sejak program ini dilancarkan pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×