PRN Selangor: BN belum sedia guna logo PH - Utusan Malaysia

PRN Selangor: BN belum sedia guna logo PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Selangor belum bersedia menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda BN Selangor, Datuk Imran Tamrin berkata, ini kerana kerjasama yang dijalinkan antara BN dan PH masih baharu, malah kesukaran akan berlaku di peringkat jentera jika BN menggunakan logo selain logo parti itu.

“Di peringkat kerjasama yang baharu sahaja dijalinkan pada November 2022, penyokong dan kepimpinan di peringkat akar umbi belum bersedia menerima logo parti lain selain BN, dan saya merasakan perkara sama turut dirasai PH.

“Tetapi pada saya, logo dan lambang apa yang digunakan sekalipun, semangat berpasukan itu perlu kita bina sekarang, elakkan bertembung antara satu sama lain dan BN perlu bantu PH, PH perlu bantu BN,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong yang menjelaskan PH dijangka menggunakan logo mereka sendiri pada PRN namun beliau secara peribadi tiada masalah jika BN ingin menggunakan logo PH di Selangor.

Sebelum ini juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan belum memuktamadkan penggunaan logo dacing dalam kalangan parti sekutu gabungan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, beliau turut mencadangkan untuk satu logo diwujudkan sebagai kegunaan pada PRN ini yang menggabungkan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan

“Itu lebih baik dan sudah ada cadangan tersebut dikeluarkan di peringkat akar umbi untuk kita gunakan satu logo yang menggabungkan parti-parti yang ada,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×