Pas setia bersama PN, tolak ‘pinangan’ DAP - Utusan Malaysia

Pas setia bersama PN, tolak ‘pinangan’ DAP

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas memilih setia bersama Perikatan Nasional (PN) walaupun menerima ‘pinangan’ DAP untuk bekerjasama di dalam satu wadah politik nasional.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak sesekali memungkiri janji dan berbohong kepada pengundi dengan meninggalkan PN setelah parti itu memilih bersama-sama komponen lain di bawah satu gabungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, Pas tetap bersama PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mahu menjadi pembangkang yang konstruktif dalam Parlimen sebelum menjadi kerajaan.

“Tiada isu peribadi (terhadap DAP) melainkan kami kekal dengan janji kami kepada rakyat sewaktu kempen, dan kami tidak akan membohongi pengundi kami (tidak bersama PN),” katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan untuk menghulurkan tangan kerjasama dengan Pas menjelang pilihan raya negeri (PRN) ini.

Sebelum ini, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan mencetuskan persoalan dan ada mengaitkan usaha itu sebagai hulur salam kerjasama antara pemimpin Kerajaan Perpaduan dengan Pas.

Malah Anwar menyatakan kerajaannya sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi negeri diperintah Pas sejak berdekad lalu.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, sekalipun tidak menerima peruntukan daripada kerajaan, Pas dan PN berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana menyifatkannya sebagai satu kewajipan dan amanah.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi sebagaimana dilaungkan dengan membetulkan sistem yang ada dan mendukung Islam sebagai agama rasmi.

“Oleh itu, kami nyatakan desakan agar kerajaan mesti meneruskan rayuan penggunaan kalimah Allah dan melarang penggunaannya kepada bukan Islam agar kerajaan Persekutuan mesti selaras dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×