PETALING JAYA: Eversendai Corporation Bhd. (Eversendai) memperoleh sembilan projek baharu bernilai RM1.1 bilion daripada anak syarikatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, India dan Singapura.
Eversendai dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran syarikat berkenaan meramalkan 2023 sebagai tahun pemulihan dan daya tahan selepas impak pandemik Covid-19 ke atas kumpulan berkenaan.
“Dengan tunggakan semasa buku pesanan baharu telah dijamin dan keseluruhan prospek pasaran yang positif di kawasan geografi utama di mana Kumpulan beroperasi, kita menjangkakan pemulihan yang beransur-ansur dan stabil pada tahun 2023,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri A K Nathan berkata, buku tender Eversendai dianggarkan bernilai kira-kira RM11 bilion dengan beberapa projek mercu tanda ikonik yang menarik dan berpotensi tinggi dalam perancangan, terutamanya di Arab Saudi dan India.
Menurut beliau, kumpulan itu yakin dapat mengatasi cabaran untuk pulih dengan komitmen yang diberikan pasukannya dalam membentuk semula Kumpulan Eversendai dengan ketabahan dan kegigihan untuk menjadi Kumpulan yang stabil dan mampan pada masa hadapan.
“Kumpulan telah memulakan kajian semula dalaman yang komprehensif dan menyeluruh terhadap anggaran kos dan margin semua projek yang sedang dijalankan untuk memastikan pengiktirafan keuntungan yang berhemat, dan mengukuhkan lagi kawalan operasi dan pengurusan.
“Fokus kami juga adalah untuk mengukuhkan perniagaan dan menumpukan perhatian pada geografi di mana kami mempunyai kelebihan daya saing yang kukuh, dan peluang untuk berkembang,” katanya.
Beliau juga berkata, Kumpulan itu yakin dapat menangani cabaran untuk pulih dengan pasukan yang komited untuk menjadi kumpulan yang stabil dan mampan pada masa hadapan.
“Dengan projek-projek baharu ini, kami berpeluang untuk meningkatkan lagi pertumbuhan,” katanya. – UTUSAN










