Majlis rumah terbuka sinonim dengan musim perayaan. Ramai yang kata tidak lengkap rasanya raya kalau tidak ada rumah terbuka menyebabkan ramai yang saban tahun mahu menganjurkannya.
Namun sebenarnya, acara tersebut bukanlah sesuatu yang wajib, bahkan ia bergantung kepada ekonomi seseorang sama ada perlu atau tidak menganjurkan acara berkenaan.
Pakar Kewangan, Faiz Azmi berkata, sebelum menganjurkan rumah terbuka sebaiknya individu mengambil kira ekonomi dan keadaan kewangan masing-masing.
Sekiranya ada mengalami tekanan daripada segi kewangan atau ketidakcukupan daripada sebarang segi, maka tidak perlu berfikir untuk menganjurkan sebarang acara rumah terbuka.
“Buat rumah terbuka kalau ada duit sahaja. Sedekah makanan untuk orang makan memang bagus tapi kalau ada tekanan dalam soal kewangan, tidak perlulah.
“Misalnya seorang suami, jika isteri ada beritahu lampin anak tidak cukup ke, susu anak tidak cukup ke, itu menandakan tidak perlu pun anjurkan rumah terbuka. Jika ingin berkomunikasi atau bersilaturahim pergi sahaja rumah terbuka orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Faiz yang turut dikenali sebagai Financial Faiz di laman media sosial, turut mencadangkan agar menggunapakai konsep kerjasama antara ahli keluarga sekiranya tetap ingin menganjurkan rumah terbuka.
Kerjasama dalam bentuk sumbangan duit atau tenaga akan menjadikan penganjuran rumah terbuka kurang membebankan.
“Bukan sahaja dapat berkumpul semua ahli keluarga tetapi juga dapat menjimatkan kos dengan lebih baik.
“Tidak perlu setiap adik-beradik menganjurkan rumah terbuka setiap seorang, bukan hendak kata membazir tetapi jika dikongsi akan lebih menggembirakan. Syaratnya, semua orang haruslah memainkan peranan,” ujarnya lagi.
Konsep potluck
Selain itu, konsep potluck juga mungkin boleh diamalkan bagi mengurangkan kos penyediaan makanan tuan rumah.
Malah, ia juga sememangnya sudah menjadi adat dan budaya orang Melayu yang suka membawa buah tangan tatkala berkunjung ke rumah saudara atau kenalan.
“Tidak salah kalau hendak buat konsep potluck kerana ia dapat merapatkan silaturrahim. Malah, makanan juga akan lebih meriah kerana bukan tuan rumah sahaja yang kena fikirkan menunya.
“Tiada masalah kalau beritahu awal kepada tetamu mengenai konsep potluck. Mungkin makanan akan sedikit berlebihan tetapi ia lebih baik daripada jika makanan tidak cukup,” jelasnya lanjut.
‘Banyak cara lain rapatkan silaturrahim’
Sementara itu, Ketua Program Pengajian Bahasa Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Dr. Sa’adiah Ma’alip berkata, rumah terbuka bukan suatu kemestian untuk diadakan.
Walaupun rumah terbuka sebagai satu tapak untuk saling menziarahi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan namun tanpa mengadakan rumah terbuka hubungan sesama insan tetap dapat dieratkan.
“Antara cara untuk mengeratkan hubungan ketika musim perayaan tanpa mengadakan rumah terbuka adalah dengan menghubungi melalui panggilan untuk mengucapkan selamat dan bertanya khabar.
“Melalui panggilan audio atau visual juga membolehkan seseorang saling berinteraksi, berbual dan sebagainya. Selain itu, melalui Whatsapp atau media sosial juga dapat mengeratkan hubungan di musim perayaan dan banyak perkara positif boleh dikongsi bersama,” jelasnya.
Beliau yang juga pakar sosial berkata, pernyataan yang menyatakan sambutan raya tidak lengkap tanpa acara rumah terbuka tidak boleh digeneralisasikan kerana bukan semua orang mengadakan rumah terbuka semasa hari raya.
Rumah terbuka diadakan mengikut kemahuan dan kemampuan seseorang.
“Ada sahaja orang yang mampu daripada segi kewangan tetapi tidak pernah mengadakan rumah terbuka kerana sebab-sebab tertentu.
“Begitu sebaliknya, ada yang ekonominya biasa sahaja tetapi tetap mengadakan rumah terbuka mengikut kemampuan yang ada. Apa yang penting tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan sesama insan,” katanya lagi.
Adab berkunjung
Pada masa yang sama, Sa’adiah turut menegaskan mengenai mengamalkan adab yang baik tatkala berkunjung ke rumah terbuka.
Katanya, sekiranya dijemput bermakna diingati oleh tuan rumah kerana bukan semua orang menerima undangan.
Antara adab perlu dijaga, adalah pergi ke rumah terbuka dengan niat untuk mengeratkan hubungan dan bukan untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
“Hormati tuan rumah dengan memberi salam dan maklumkan kehadiran.
“Tuan rumah pasti gembira apabila mengetahui tetamu yang diundang dapat datang.
“Tuan rumah mungkin sibuk dan tidak perasan dengan kehadiran kita, terutamanya jika rumah terbuka dibuat di luar rumah (khemah) dengan undangan yang ramai,” katanya.
Ikut bajet keluarga
Bagi surirumah, Nur Khairunnisa Aznan pula, menganjurkan rumah terbuka sudah menjadi kebiasaannya dan suami setiap tahun.
Namun, katanya, penganjuran itu bukanlah secara besar-besaran, sebaliknya mengikut kemampuan diri sendiri dan hanya sekadar untuk meraikan kegembiraan bersama saudara dan sahabat handai.
“Saya dan suami sering mengambil kemeriahan Syawal untuk mengadakan rumah terbuka untuk beramah mesra dengan keluarga dan sahabat handai terdekat.
“Seronok rasanya bila makan-makan bersama dalam kemeriahan Syawal. Setiap tahun kami seolah-olah mencipta memori baharu bersama insan tersayang,” kongsinya yang juga merupakan bekas personaliti televisyen.
Berbicara mengenai bajet pula, katanya, perkara pertama diberi perhatian ketika merancang rumah terbuka adalah bajet yang perlu diperuntukkan.
“Kami sentiasa memilih untuk mempelbagaikan menu makanan. Lagipun rumah terbuka kami adalah dalam skala kecil.
“Satu-satu makanan tidak perlu banyak tapi ia harus pelbagai. Selain itu, meja hidangan juga akan kelihatan lebih meriah dengan aneka makanan, kos juga dapat dikurangkan,” katanya lagi.
Daripada segi perancangan, katanya dia dan suami akan membuat perancangan awal sekitar di pertengahan Ramadan.
“Oleh sebab kami sering mengadakan open house ketika minggu pertama Syawal, makanan harus siap sedia ditempah lebih awal sebab kita faham kebanyakkan peniaga makanan akan mula sibuk dengan pesanan pelanggan,” akhirinya.










