UMNO dengki sokongan rakyat kepada PN - Wan Fayshal

UMNO dengki sokongan rakyat kepada PN – Wan Fayshal

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa UMNO tidak senang dengan sokongan rakyat terhadap parti itu sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dianggap ‘menuding jari’ terhadap UMNO sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pemudanya, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sokongan itu dibuktikan menerusi rekod pilihan raya umum (PRU) lalu dan diteruskan beberapa program yang dianjurkan PN sehingga kini.

“Dalam kerajaan yang dia (UMNO) duduk ini adalah kerajaan yang tidak jujur antara satu sama lain. Dia cemburu dengan kekuatan yang PN garap, komen ini komen orang yang tidak keruan, itulah Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid). Jadi dia tunding jari kepada diri sendiri, bukan kami.

“Kami relaks sahaja tengoklah hari raya, segala program yang kami buat dapat sokongan yang cukup baik oleh rakyat dan parti,” katanya semalam.

Terdahulu Ahmad Zahid dilaporkan berkata, gabungan parti yang memperjuang Melayu Islam akan berpecah kerana sudah mula ada keretakan yang berlaku.

Tanpa menamakan nama gabungan parti berkenaan, ia dipercayai merujuk kepada PN yang disertai Pas yang mana sebelum ini mempunyai rekod bersama dengan UMNO yang cuma mewujudkan persefahaman atas nama Melayu Islam menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, kerjasama itu tidak berjaya apabila Pas memilih parti lain untuk meneruskan kerjasama dan akhirnya UMNO ‘ditendang’, sekali gus percaya perkara itu akan berlaku kepada rakan gabungannya itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhly Shaary turut menempelak Ahmad Zahid dengan mempersoal kedudukan BN umpama ‘menumpang di dapur orang’.

“Kaki tempang tidak bersarang, sang merpati tidak berlari, tuan menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×