PETALING JAYA: Amalan melantik ahli politik sebagai pengerusi atau memegang jawatan tertinggi dalam badan-badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC) sukar dihentikan kerana sudah menjadi lumrah untuk mereka mendapat ‘habuan’ seumpama itu.
Ini khususnya apabila parti atau gabungan politik membentuk kerajaan yang menyaksikan pemimpin tertinggi parti melantik sesiapa yang dirasakan sesuai memegang jawatan, termasuk calon yang tewas bertanding pada pilihan raya umum (PRU).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, berdasarkan ilmu sains politik, ia diketahui sebagai ‘budaya politik’ dan terpakai kepada mana-mana negara.
Dalam konteks di Malaysia, katanya, budaya itu sudah diamal sejak dahulu dengan menyorot contoh duluan dalam pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Tidak dinafikan dakwaan bahawa lantikan ini sebagai habuan politik mungkin ada benar, tetapi mungkin juga boleh difahami dalam persepsi berbeza.
“Misalnya ketika BN kuat dahulu mungkin berlaku. Contohnya parti komponen mendesak supaya bertanding tetapi oleh kerana kuota telah cukup dan mereka tidak dapat dijadikan calon, namun dijanjikan sesuatu selepas pilihan raya.
“Ini berlaku sejak zaman Tunku lagi. Maka, ia akan terus menjadi ikutan, kalau diubah coraknya mungkin sukar dan mendapat kritikan.
“Lagipun, tiada undang-undang yang boleh menghalang ahli politik daripada memegang jawatan ini. Jika ada kemampuan dan kepercayaan kenapa tidak mereka dilantik?,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kerajaan terus berdepan kontroversi selepas Perdana Menteri bersetuju melantik lima ahli politik sebagai Pengerusi Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Lima ahli politik itu ialah Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Aminuddin Zulkipli (ketiga-tiga dari Amanah) sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Dr. Azman Ismail (PKR) sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP) sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
PH sebelum ini menjelaskan tidak pernah berjanji menghapuskan keseluruhan lantikan politik dalam GLC dan akan memastikan ia dibuat atas dasar merit dan profesionalisme.
Pada November tahun lalu, Anwar menegaskan beliau tidak mahu sebarang lantikan dibuat dalam barisan Kabinet dilihat sebagai ‘ganjaran’ kepada ahli politik.
Mengulas lanjut, kata Jamaie, seandainya ada parti politik menawar janji menghenti atau mengurangkan lantikan politik dalam manifesto pilihan raya, ia tidak semudah yang dijangka kerana status quo kerajaan semasa mengekang parti untuk membuat keputusan secara sepihak.
“Kerajaan tidak boleh lagi buat keputusan sendiri kerana ia terbentuk daripada gabungan beberapa parti dan apa-apa tawaran pada rakyat hendaklah dibincang secara konsensus.
“Jika rakyat mahu melihat budaya ini dihentikan, maka pilihan raya akan datang pengundi harus memberi undi kepada parti tunggal yang lebih dominan. Tidak boleh ada prinsip yang mengikat dan tawaran-tawaran ini tidak boleh dilonggarkan seperti yang berlaku dalam kerajaan sekarang,” katanya. – UTUSAN










