Kadar inflasi negara terus menurun, suku pertama 3.6 peratus

Kadar inflasi negara terus menurun, suku pertama 3.6 peratus

NOR SHAMSIAH MOHD. YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan negara bagi suku pertama 2023 (S1 2023) menurun kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku keempat tahun 2022 (S4 2022).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, penurunan berkenaan didorong inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah.

Beliau berkata, pengurangan inflasi teras bagi S1 2023 kepada 3.9 peratus berbanding 4.2 peratus bagi S4 2022, sebahagian besarnya disumbang oleh perkhidmatan terpilih.

“Perkhidmatan tersebut termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

“Meskipun tekanan kos terus menjadi reda, terutamanya harga komoditi global, inflasi teras kekal tinggi pada suku pertama berikutan keadaan permintaan yang terus kukuh,” katanya pada sidang media prestasi ekonomi suku pertama 2023 di sini, hari ini.

Menurut Nor Shamsiah, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana bagi tahun 2023 namun kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Katanya, inflasi yang sederhana ini mencerminkan faktor kos global lebih rendah berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin reda dan harga komoditi yang lebih rendah.

“Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh. Kawalan harga dan subsidi bahan api yang sedia ada akan terus membendung sebahagian kesan kenaikan tekanan inflasi.

“Imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri, perkembangan pasaran kewangan dan harga komoditi global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×