PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan marin bagi industri minyak dan gas, RMS Synergy Sdn. Bhd. (RMS Synergy) telah memeterai usaha sama dengan Hai Duong Petroleum and Marine Corporation (HADUCO) dari Vietnam, salah sebuah syarikat pembekal perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) terbesar di Asia Tenggara, bagi membentuk HADUCO RMS Sdn. Bhd.
Ditubuhkan pada 2000, HADUCO memiliki 42 kapal yang dikendalikan oleh kakitangan berpengalaman beroperasi di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia, Myanmar, Thailand, Russia, India dan Jepun.
Menerusi usaha sama ini, RMS Synergy telah memperoleh sewaan jangka panjang bagi kapal pengendalian Anchor Handling Tug Supply (AHTS) bollard 60 tan dan akan bekerjasama erat dengan HADUCO untuk memanfaatkan permintaan OSV yang semakin meningkat dalam kalangan pengendali minyak dan gas di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif RMS Synergy, Mohamad Asraf Abdul Ghafur, berkata, syarikat teruja untuk mengumumkan usaha sama dengan HADUCO, sebuah syarikat yang terkenal dan dihormati di rantau ini.
“Gabungan kepakaran dan sumber akan membolehkan pihak kami menyediakan perkhidmatan dan sokongan kepada pelanggan bagi melaksanakan operasi luar pesisir mereka.
“Usaha sama ini mewakili langkah penting untuk kedua-dua syarikat, dan kami berharap untuk bekerjasama bagi mencapai matlamat bersama dalam usaha meluaskan operasi dan kehadiran kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HADUCO, Tran Quang Hung pula berkata, RMS Synergy sudah menjadi rakan strategik HADUCO selama bertahun-tahun dan pihaknya gembira untuk terus mengukuhkan hubungan menerusi perkongsian kerjasama itu.
“Pada masa ini kami melihat rekod aktiviti yang tinggi di pasaran Malaysia dan pemilik kapal boleh menjangkakan permintaan yang lebih besar untuk aset mereka. Usaha sama ini mewakili langkah yang penting bagi kami dari segi menjamin perniagaan jangka panjang di Malaysia sambil kita mengeratkan hubungan kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN










