Kes penceraian yang semakin banyak berlaku pada ketika ini banyak yang dikaitkan dengan isu shiqaq.
Daripada sudut terminologi, al-Shiqaq bermaksud perkelahian di antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumahtangga.
Kaunselor Residen Klinik Pakar Alaminda, Nurliyana Munirah Mohd. Rosli berkata, punca sering terjadinya shiqaq adalah disebabkan oleh konflik-konflik kecil yang dibiarkan dan tidak diuruskan dengan baik.
Misalnya, tidak berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul sepanjang menjalani kehidupan berumahtangga.
“Selalunya yang terjadi adalah perkara-perkara biasa dalam kehidupan seharian namun ia tidak diselesaikan dengan baik menyebabkan pertelingkahan menjadi lama dan berlarutan.
“Sebab itu jugalah yang menjadikan perhubungan sentiasa tegang dan bertekak sehingga akhirnya salah seorang mula keluar daripada rumah,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, pengabaian tanggungjawab turut menjadi antara punca penting yang membawa kepada keadaan itu terjadi.
Hal ini kerana pengabaian tanggungjawab boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan.
Pergaduhan berpanjangan boleh jadi barah dalam rumahtangga
Menyifatkan Shiqaq itu sesuatu yang besar dalam perkahwinan, kata Nurliyana, pada kebiasaannya rumahtangga hampir mustahil untuk diselamatkan jika berlaku pergaduhan berpanjangan.
Berdasarkan pengalaman beliau, kalau pasangan itu datang kaunseling perkahwinan tetapi belum sampai tahap Shiqaq, mereka masih bermotivasi tinggi untuk menyelamatkan hubungan.
“Namun kalau sudah sampai tahap shiqaq memang pasangan tidak boleh tengok muka antara satu sama lain, atau pun tidak mahu ambik tahu langsung pasal pasangan itu lagi dah,” katanya lanjut.
Perlu komitmen
Oleh itu katanya, sebaiknya sebarang konflik yang berlaku diuruskan dengan baik agar dapat mengelakkan berlakunya pertelingkahan berpanjangan.
Terdapat beberapa kaedah yang dikongsikan supaya pasangan yang dalam fasa pertelingkahan untuk mencuba memperbaiki hubungan ke arah yang lebih baik.
Katanya, jika pergaduhan sering berlaku akibat kekurangan yang dilihat pada pasangan, langkah pertama perlu dilakukan ialah cuba mencari sisi kelebihannya.
“Lihat semula bagaimana kita melihat pasangan selama ini. Kita dan pasangan seharusnya kena tengok apa kelebihan masing-masing.
“Kadang-kadang kita lupa kebaikan yang dia ada, sebab terlalu fokus pada benda kita tidak suka. Jika nampak kekurangan pasangan, cuba muhasabah balik diri kita,” ujarnya.
Selain itu, pasangan juga harus belajar saling memahami dan bukan hanya meminta untuk sentiasa difahami.
Dalam usaha memperbaiki hubungan katanya, beri peluang kepada pasangan untuk memberi penerangan dan penjelasan kenapa mereka rasa apa yang mereka lakukan itu baik.
“Daripada pihak kita pula tanya kenapa tindakan pasangan sebegitu dan jangan selalu hendak menangkan pandangan kita sahaja.
“Dalam perkahwinan kita hendak sentiasa difahami tetapi kurang usaha untuk cuba memahami,” katanya lagi.
Individualistik
Pemikiran individualistik juga haruslah disingkirkan apabila sudah mendirikan rumah tangga.
Kebanyakan individu yang berfikiran individualistik seringkali tidak melihat pasangan sebagai satu komuniti yang bersama.
“Daripada situ juga boleh muncul masalah komunikasi berkesan iaitu kita tidak bercakap dengan cara efektif.
“Sebab itu bila tidak puas hati dengan pasangan selalunya akan pendam perasaaan dan lama-lama bila tidak tahan akan serang pasangan,” ulasnya.
Justeru, pasangan yang berdepan dengan konflik sebaiknya mengamalkan kaedah komunikasi berkesan supaya mendapat jalan penyelesaian yang lebih aman.
Paling penting adalah menyelesaikan sesama sendiri dan jangan sesekali menceritakan masalah perhubungan kepada orang luar, terutamanya kepada yang berlainan gender.
“Kalau hendak bercerita juga, cari rakan atau pendengar yang matang dan rasional atau kaunselor perkahwinan.
“Jangan pula cuba meluahkan di media sosial kerana ia tidak akan menambahbaik keadaaan,” katanya.










