KDNK suku pertama diunjur 4 ke 5 peratus

KDNK suku pertama diunjur 4 ke 5 peratus

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2023 diunjur pada tahap 4.0 ke 5.0 peratus, disokong keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran baharu kerajaan.

Ia sekitar prestasi suku sama tahun lalu iaitu pada 5.0 peratus dan lebih rendah berbanding suku keempat 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus.

Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, selepas mengalami kemelut politik yang berpanjangan, kini pentadbiran negara berada dalam keadaan baik sekali gus membantu kemajuan negara.

“Trend ini sepatutnya berpanjangan dalam usaha mentadbir negara bagi mencapai prestasi ekonomi yang baik. Secara keseluruhan nampaknya tahun ini pertumbuhan ekonomi saya jangkakan berada pada tahap 5.0 ke 6.0 peratus.

“Bagi prestasi suku pertama pula, KDNK dijangka mencapai 4.0 ke 5.0 peratus dan semakin berkembang pada suku akan datang. Ini kerana lawatan Perdana Menteri ke negara-negara luar mendapat reaksi yang baik dan hasilnya mungkin kita dapat lihat pada suku ketiga dan keempat nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, China juga telah berjanji untuk membuat pelaburan yang agak besar di negara ini selepas sekatan Covid-19 di negara itu dihapuskan.

“Pelaburan ini semua memakan masa untuk kita nikmati hasilnya. Jadi, suku selepas ini akan lebih baik berbanding suku pertama apabila para pelabur asing memulakan pelaburan di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ekonomi negara diunjur tumbuh pada 5.0 peratus, lebih rendah berbanding suku keempat 2022 yang mencatat 7.1 peratus.

“Ini kerana permintaan terhadap barangan eksport dan import yang semakin perlahan di samping peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejak tahun lepas sehingga sekarang.

“Keadaan tersebut sekali gus menyebabkan aktiviti ekonomi yang semakin perlahan,” ujarnya.

Menurut laporan Reuters, pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin perlahan pada suku pertama, selepas terjejas oleh penggunaan yang lembab dan penurunan eksport.

Jelasnya, ekonomi Asia Tenggara mungkin berkembang 4.8 peratus pada suku pertama mengikut unjuran 21 ahli ekonomi, iaitu turun daripada 7.1 peratus yang dicatat pada suku keempat tahun lalu.

Ahli ekonomi di DBS, Chua Han Teng berkata, aktiviti perkilangan berorientasikan eksport yang perlahan dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu merupakan faktor utama di sebalik kemerosotan, sama seperti arah aliran dalam ekonomi berorientasikan luaran lain di rantau ini.

“Momentum permintaan domestik juga berkemungkinan berkurangan, tetapi sepatutnya mengatasi prestasi berbanding sektor luar, disokong oleh perbelanjaan isi rumah, pemulihan pelancongan dan pelaburan infrastruktur.

“Ekonomi Malaysia menghadapi risiko penurunan yang ketara daripada gabungan faktor, termasuk kelembapan ekonomi global dan kemerosotan permintaan daripada rakan dagang utama China,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×