PETALING JAYA: Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.1 peratus pada suku tahun pertama 2023 (S1 2023), menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi sektor perkhidmatan pada suku pertama 2023 dipacu oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 13.1 peratus kepada RM428.2 bilion.
Ia diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan dan segmen profesional, hartanah dan pentadbiran & khidmat sokongan masing-masing meningkat 12.0 peratus dan 16.5 peratus kepada RM77.8 bilion dan RM35.3 bilion.
Sementara itu, bagi pendapatan e-Dagang, beliau berkata, ia mencatatkan nilai sebanyak RM307.2 bilion iaitu tumbuh 10.4 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun pertama 2023.
“Bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, pendapatan e-Dagang meningkat sedikit iaitu 1.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, analisis prestasi mengikut subsektor menunjukkan, perdagangan borong & runcit mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak RM46.4 bilion atau 12.8 peratus tahun-ke-tahun, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan dan makanan & minuman masing-masing meningkat 21.9 peratus dan 11.6 peratus kepada RM35.8 bilion dan RM17.3 bilion.
Beliau berkata, analisis perbandingan suku tahun-ke-suku tahun pula menunjukkan, jumlah hasil pada suku pertama 2023 merekodkan kenaikan 1.0 peratus atau RM5.5 bilion, didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit dan pengangkutan & penyimpanan, masing-masing meningkat 0.6 peratus dan 3.6 peratus.
Katanya, jumlah pekerja dalam sektor itu ialah seramai 4.4 juta orang, meningkat sebanyak 89,600 orang atau 2.1 peratus tahun-ke-tahun.
Kenaikan disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan peningkatan sebanyak 49,000 orang atau 2.6 peratus, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan, meningkat sebanyak 18,600 orang atau 5.4 peratus. Bagi suku tahun-ke-suku tahun, jumlah pekerja tumbuh 0.3 peratus, meningkat 13,100 orang.
“Gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.4 bilion atau 4.6 peratus tahun-ke-tahun. Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit yang bertumbuh 3.4 peratus kepada RM13.9 bilion, diikuti pengangkutan & penyimpanan, meningkat 7.0 peratus kepada RM2.8 bilion.
“Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, gaji dan upah menaik 0.7 peratus untuk mencatatkan RM31.3 bilion pada suku tahun pertama 2023,” katanya. – UTUSAN










