Sektor pembinaan tumbuh 9.4 peratus suku pertama 2023

Sektor pembinaan tumbuh 9.4 peratus suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan mengekalkan momentum positif pada suku pertama 2023 dengan nilai kerja pembinaan meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM32.2 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan didorong oleh peningkatan dua digit dalam kejuruteraan awam sebanyak 17.2 peratus, diikuti subsektor bangunan bukan kediaman dan aktiviti pertukangan khas yang meningkat masing-masing sebanyak 9.6 peratus dan 9.0 peratus.

Sementara itu, kata beliau, nilai kerja pembinaan dalam subsektor bangunan kediaman menurun sebanyak 2.2 peratus berbanding pertumbuhan positif sebanyak 5.3 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

“Pada suku pertama 2023, jumlah nilai kerja pembinaan adalah sebanyak RM32.2 bilion dengan kejuruteraan awam menyumbang sebanyak RM12.1 bilion atau 37.6 peratus, manakala bangunan bukan kediaman (30.5 peratus) dengan nilai sebanyak RM9.8 bilion.

“Selain itu, nilai kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas masing-masing merangkumi 21.7 peratus dan 10.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prestasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, Mohd. Uzir berkata, sektor swasta kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan pada suku dilaporkan, dengan peningkatan sebanyak 10.6 peratus (ST4 2022: 23.5 peratus).

Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM19.8 bilion atau 61.4 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.

“Sementara itu, nilai kerja pembinaan yang dimiliki oleh sektor awam berjumlah RM12.4 bilion atau 38.6 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan, meningkat sebanyak 7.4 peratus pada suku ini (ST4 2022: 4.7 peratus),” katanya.

Mohd. Uzir memberitahu, lebih daripada satu per tiga daripada nilai kerja pembinaan pada suku pertama tahun 2023 tertumpu di Selangor berjumlah RM8.1 bilion atau 25.1 peratus.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak RM4.1 bilion atau 12.7, Sarawak dan Johor yang dengan kedua-duanya mencatat nilai kerja pembinaan pada RM3.4 bilion (10.6 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×